KUALA TERENGGANU – Permintaan terhadap lembu untuk ibadah korban di daerah ini tetap bertambah walaupun harga ternakan itu meningkat.
Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa ladang di sini semalam mendapati, harga seekor lembu cukup umur dengan berat antara 17 ke 18 kilogram dijual pada harga RM6,000.
Menurut seorang penternak, Mohd. Saiful Hafiz Alias, 42, harga itu meningkat berbanding Hari Raya Aidiladha tahun lalu iaitu antara RM4,500 sehingga RM5,000 seekor lembu.
Katanya, dijangkakan 200 ekor lembu yang diternak di kandangnya akan terjual bagi tujuan korban tahun ini dengan 120 daripadanya sudah ditempah pembeli sejak bulan lalu.
“Harga seekor lembu antara RM5,500 sehingga RM6,000 bergantung kepada saiz dan berat. Harga untuk satu bahagian pula antara RM750 ke RM850.
“Namun, kenaikan harga ini tidak menghalang pembeli termasuk orang perseorangan, masjid atau peraih untuk mendapatkan lembu,” katanya di Kampung Tok Jiring di sini semalam.
Seorang lagi penternak, Awang Mohd., 45, dari Kampung Tepoh, Kuala Nerus, berkata, majoriti lembu yang dibawa masuk dari Thailand menjadi mahal ekoran ketidakstabilan Ringgit.
“Kebanyakan penternak bergantung kepada lembu import kerana kekurangan bekalan lembu tempatan. Selain faktor ekonomi, kos makanan ruminan juga turun naik.
“Walaupun harga agak mahal, sambutan daripada pembeli cukup baik berbanding tahun sebelum ini akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.














