fbpx

Penduduk gotong-royong halau babi hutan sondol warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk menunjukkan seekor babi hutan yang mati ditembak semasa program gotong-royong di kawasan dusun buah-buahan di Pasir Tumboh, Kota Bharu hari ini. /FOTO ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seramai 50 penduduk di empat buah kampung di sekitar kawasan Pasir Tumboh di sini mengadakan program gotong-royong untuk menghalau babi hutan hari ini.

Kebanyakan penduduk menggunakan anjing untuk menghalau babi selepas seorang warga emas parah selepas disondol seekor babi hutan sewaktu mengutip buah durian di dusun buah-buahan berhampiran rumahnya di Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh kelmarin.

Dalam program itu, seekor babi hutan yang berkeliaran ditembak oleh seorang pemilik kebun buah-buah apabila haiwan berkenaan dikesan merosakkan tanamannya.

Seorang penduduk, Nik Rosli Nik Man, 52, berkata, penduduk kampung empat buah kampung membuat gotong-royong menghalau babi hutan selepas seorang warga emas, Omar Ngah, 78, cedera parah akibat disondol haiwan berkenaan.

Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang perangkap di dusun durian bersebelahan rumah mangsa untuk menangkap babi hutan petang semalam.

“Masih banyak lagi babi hutan berkeliaran di kawasan dusun apabila kita dapat lihat kesan sondolan pada pokok kelapa, pisang dan buah-buahan lain. Ada penduduk melihat haiwan tersebut berkeliaran di kawasan perumahan pada awal pagi dan waktu senja.

“Penduduk berharap Perhilitan dapat mencari jalan penyelesaian masalah babi hutan di sini kerana kebanyakan penduduk bimbang kejadian serangan haiwan tersebut berulang,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu , anak bongsu kepada Omar, Azlan, 44, berkata, keadaan bapanya semakin stabil dan kini masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini.

Katanya, bapanya akan menjalani rawatan ortopedik selepas disahkan mengalami kecederaan dalaman akibat digigit babi hutan semasa bergelut dengan haiwan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI