fbpx

Indonesia catat 488 kematian berkaitan denggi berdarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesakit demam denggi berdarah dirawat di bilik kecemasan hospital di Maumere, Nusa Tenggara Timur. - Ebed de Rosary/Mongabay Indonesia

JAKARTA – Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan jumlah kematian mencecah 488 orang akibat demam denggi berdarah sepanjang tahun 2022, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia, semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono berkata, pemerintah akan menilai program kawalan penyakit denggi bagi mengurangkan jumlah kematian akibat penyakit bermusim itu.

“Kami mempunyai program merentasi institusi yang digelar kumpulan kerja operasi. 

“Kementerian akan menilai dan melihat sejauh mana keberkesanan program tersebut,” kata Dante dalam satu kenyataan.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan sehingga minggu ke-23 pada 2022, secara kumulatif terdapat 52,313 kes demam denggi berdarah dengan 488 kematian di 451 daerah serta bandar di 34 wilayah.

Dante berkata, kes demam denggi sentiasa meningkat setiap tahun malah penyakit itu dianggap endemik di kawasan tropika dan subtropika.

Buat masa ini, antara program kawalan denggi yang telah dijalankan adalah meletakkan pegawai pemantau jentik-jentik di setiap unit komuniti.

Tambah Dante, program itu bertujuan menggalakkan masyarakat untuk memantau persekitaran secara aktif dan mencegah kemunculan tempat yang berpotensi menjadi sarang jentik-jentik.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan pihak swasta untuk melancarkan kereta pendidikan demam denggi berdarah mudah alih yang akan beroperasi secara beransur-ansur di 100 lokasi di Indonesia.

Kereta pendidikan itu akan menyasarkan lokasi termasuk sekolah rendah, pasar dan hospital di beberapa bandar iaitu, Bandung, Cirebon, Jogjakarta dan Malang. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI