KLUANG – Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, namun keperitan terpancar jelas di wajah seorang wanita selepas dua anaknya dijemput Ilahi secara serentak dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 36.7 Jalan Batu Pahat – Kluang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, di sini petang semalam.
Norashikin Mohamad, 54, berkata, ketika kejadian berlaku mereka dalam perjalanan untuk menghantar anak bongsunya, Irfan Helmi Zainal Abideen, 20, ke Politeknik Johor Bahru di Pasir Gudang dengan bergerak secara berasingan menggunakan dua buah kereta.
Katanya, sebelum keluar di Plaza Tol Ayer Hitam, kereta Toyota Vios dipandu Azrul Nizam, 29, yang dinaiki bersama abangnya Fazli Yuzaini, 30, Zul Fahmi, 25, serta Azrul Nizam berhenti seketika untuk mengisi minyak.
Jelasnya, dia bersama saudaranya yang bergerak dahulu tidak mengetahui kejadian itu sehingga dimaklumkan oleh kawan arwah bahawa kemalangan telah berlaku ke atas kereta dinaiki empat beradik itu.
“Tanpa membuang masa kami yang sudah sampai ke Plaza Tol Skudai itu berpatah balik disulami kebimbangan sesuatu yang buruk berlaku sambil mendapatkan bantuan saudara terdekat untuk membantu.
“Dunia terasa hilang seketika sebaik dimaklumkan bahawa anak sulung, Fazli Yuzaini dan anak bongsu, Irfan Helmi maut dalam kejadian itu manakala dua lagi anak Azrul Nizam serta Zul Fahmi mengalami cedera parah pada tulang belakang dan tengkuk,”katanya kepada Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
Menurut Norashikin lagi, dua anaknya yang dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) masih tidak mengetahui bahawa abang sulung serta adik bongsu mereka sudah meninggal dunia.- KOSMO! ONLINE














