fbpx

Aidiladha: Penduduk kesal masalah air masih tak selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anuar menunjukkan bekalan air bersih untuk makan dan minum yang disimpannya dalam botol-botol kecil bagi kegunaan mereka sekeluarga di Felda Palong 2, di sini, hari ini. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

JEMPOL – Lebih 80 buah rumah di kawasan Felda Palong 2, di sini, berasa kecewa apabila masalah air yang membelenggu penduduk sejak lebih 30 tahun lalu masih belum dapat diatasi sehingga ke hari ini.

Malah, lebih memburukkan keadaan, perayaan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini juga mengundang resah buat penduduk berikut sejak Isnin lalu penduduk di kawasan agak tinggi iaitu di Blok 9 hingga 12 mengalami masalah ketiadaan bekalan air.

Menurut Ahli Jawatankuasa Blok 11, Anuar Omar, 62, masalah itu makin memburuk kira-kira dua tahun lalu sehingga dia terpaksa membuat pelaburan sebanyak lebih RM500 bagi membeli tangki untuk menyimpan air kegunaan membasuh pinggan, mandi dan membasuh baju.

“Macam di rumah saya ini ada enam ahli keluarga. Air memang keperluan utama lebih-lebih lagi anak saya, Raja Nor Aishah, 40, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pekak bisu mengusahakan perniagaan bahulu serta kek dari rumah.

“Bila air tiada memang agak sukar untuk memenuhi tempahan. Saya sendiri terpaksa mengambil inisiatif mengisi air tapisan buat makan, minum dalam botol-botol bersaiz kecil dan besar bagi kemudahan anak saya mencari rezeki.

“Malah, untuk hari raya Aidiladha ini juga saya masih belum membuat keputusan untuk membuat tempahan 28 batang lemang memandangkan masalah gangguan air ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Palong 2, di sini hari ini.

Bagi seorang lagi penduduk, A Rahman Jaaffar, 67, berkata, dia merupakan antara peneroka terawal mendiami penempatan berkenaan iaitu sekitar tahun 1975 dan pada masa itu, bekalan air felda ialah dari saluran paip yang dipasang dari dalam kebun getah.

Menurutnya, kini bekalan air penduduk adalah dari Londah serta Pasir Besar, namun, masalah gangguan air akan muncul setiap kali cuti sekolah, perayaan sehingga menyebabkan anak-anak pulang ke kampung berasa kurang selesa.

“Macam generasi kedua yang banyak anak, saya kesian kerana mereka terpaksa menyimpan air dalam jumlah yang banyak bagi mengelak keputusan bekalan. Oleh itu, saya harap sangat agar masalah ini dapat diselesaikan terutamanya membabitkan paip-paip lama yang masih belum ditukar di kawasan felda ini.

“Macam di kawasan saya ni memang paip dah ganti baharu tapi bekalan air masih terganggu berikutan paip pecah di lokasi lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI