fbpx

UPNM juara Piala Menteri Pengajian Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain UPNM meraikan kejayaan muncul juara Piala Menteri Pengajian Tinggi selepas kalahkan UKM 3-0 secara agregat.

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022.

Kejayaan itu hadir selepas UPNM menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan keputusan agregat 3-0 selepas mencatat kemenangan 2-0 pada aksi final kedua di Stadium UKM, Bangi semalam.

Berbekalkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium UPNM di Sungai Besi minggu lalu, pasukan pelawat dijangka berdepan kesukaran menentang UKM yang merupakan juara tiga kali kejohanan tersebut.

Lebih mendebarkan apabila Stadium UKM mencetuskan suasana luar biasa apabila dibanjiri lebih lima ribu penonton daripada kedua-dua IPT dengan sorakan gendang dan nyanyian ‘Ultras’ tanpa henti hingga tamat permainan.

NORAINI (tengah) turut hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Menteri Pengajian Tinggi antara UPNM dan UKM di Stadium UKM semalam.

Begitupun, ia sama sekali tidak dapat mematahkan semangat UPNM yang ternyata begitu kental sekalipun UKM dilihat lebih banyak menguasai permainan secara keseluruhan.

Pemain tengah UPNM, Muhammad Ikhmal Zuri Ismadi melakukan rembatan jarak jauh untuk menghasilkan jaringan pertama pasukan pelawat pada minit ke-16.

Situasi itu mengejutkan tuan rumah yang terus bekerja keras untuk mencari jaringan, namun terlepas beberapa peluang keemasan dan dihampakan oleh kekebalan penjaga gol UPNM, G.Navind Raj.

Kapten UPNM, N. Thineswaran meleburkan harapan UKM untuk bangkit apabila meledak jaringan cantik ke sudut yang sukar untuk memastikan pasukannya selesa mendahului 2-0 di penghujung permainan.

MUHAMMAD HADI (tiga dari kanan) memenangi anugerah penjaring terbanyak kejohanan.

Ia sekaligus membolehkan UPNM merangkul kejuaraan pertama pada edisi ke-10 kejohanan yang turut menyaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Lebih manis, UPNM turut merangkul dua anugerah individu menerusi kejayaan Thineswaran dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan Muhammad Hadi Mohamad sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Sebagai rekod, tempat ketiga menjadi milik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa berpuas hati di tempat keempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI