fbpx
NASKHAH Ratu Tenpin 2 bakal bersiaran Isnin hingga Khamis bermula 11 Julai depan di saluran Astro Ria.

Ratu boling turun padang jayakan Ratu Tenpin 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS kejayaan Ratu Tenpin musim pertama, JS Pictures Sdn. Bhd. dan Astro kini menghidangkan para penonton dengan Ratu Tenpin 2: Shalin yang bakal ditayangkan bermula 11 Julai depan.

Menariknya, Ratu Tenpin 2 yang merupakan naskhah arahan Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya itu mengetengahkan kisah wira negara yang telah mengangkat nama Malaysia dalam sukan boling ke peringkat antarabangsa iaitu Shalin Zulkifli.

Drama 20 episod tersebut diinspirasikan daripada kisah hidup Ratu Boling negara bermula saat awal berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.

Menurut Shalin, perasaan teruja dan terharu bercampur-baur dalam jiwanya ketika pihak produksi menyuarakan hasrat untuk mengangkat kisah hidupnya menjadi sebuah drama.

Tidak hanya duduk diam, dia turut terbabit dalam proses penghasilan skrip dan jalan cerita serta turun padang membantu para pelakon di lokasi membabitkan babak bermain boling.

“Untuk musim kali ini, saya bekerja rapat dengan penulis skrip sebab ada perkara yang perlu merujuk kepada saya. Walaupun tidak berlakon, saya memang akan turun padang.

“Selain itu, saya turut membantu dan memberi sokongan kepada pelakon membabitkan babak bermain boling terutama episod mereka mewakili negara sebab itu momen yang bersejarah,” katanya.

Katanya, cabaran paling getir buat pelakon ialah apabila setiap mereka perlu melakukan balingan ‘strike’ sendiri.

“Sebagai pemain boling, saya memang ada mengajar para pelakon balingan bola dan memang sukar untuk dapatkan strike bagi mereka yang kurang mahir.

“Lebih mencabar ialah abang Jinggo dan Sheila Rusly nak babak tersebut dilakukan oleh pelakon sendiri, tak mahu orang lain.

“Bagusnya, para pelakon memang rajin berlatih tanpa jemu. Dedikasi dan semangat mereka harus dipuji,” katanya lagi.

Tambahnya, drama tersebut bukan hanya sebagai bahan hiburan, namun sebagai titik tolak untuk memperkenalkan nama-nama atlet negara khususnya dalam sukan boling yang selama ini kurang mendapat perhatian umum.

“Ramai tahu sukan boling tetapi tidak semua kenal atletnya sedangkan mereka sudah mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Terima kasih buat rumah produksi dan stesen televisyen yang sudi mengangkat kisah saya dan atlet lain. Semoga dapat membuka mata banyak pihak tentang perjuangan atlet negara,” ujarnya.

Sementara itu, Jinggo memberitahu inisiatif untuk menghasilkan naskhah berkaitan sukan dan wira negara jarang dihasilkan oleh penggiat seni kreatif tanah air.

“Sejak Ratu Tenpin dihasilkan, kami memang ingin mengubah landskap dan trend drama tempatan yang biasa dan terapkan unsur-unsur yang mampu membanggakan penonton.

“Signifikan drama kali ini ialah figura bernama Shalin yang merupakan ikon sukan boling. Kejayaannya tiada tolok tandingan kerana telah berjaya membawa nama negara ke mata dunia,” kongsinya.

Jelasnya lagi, musim kedua memaparkan kisah hidup, pengorbanan dan kepayahan Shalin dalam mencipta nama sebagai Ratu Boling negara.

“Cerita kepayahan dan kesusahan ditambah dengan subplot yang lain untuk dijadikan bahan atau fakta yang menyokong ceritanya.

“Kalau kita buat cerita Shalin sahaja, dua episod sudah habis. Kita tokok tambah untuk menjadikan ceritanya lebih menarik,” tuturnya lagi.

Menurutnya, terdapat watak yang digugurkan dan ada juga watak baharu diperkenalkan pada musim kali ini.

“Watak yang kami bawa dalam musim kedua ini adalah pemain boling negara kita sendiri.

“Untuk watak utama dalam musim ini pula, kami tampilkan Jasmine Suraya kerana dia juga mempunyai asas dalam sukan ini,” ujarnya.

Memuji usaha Jasmine, Jinggo berpendapat pelakon kelahiran Sarawak itu komited menjiwai karakter Shalin.

“Kami dapatkan Shalin untuk melatih Jasmine. Dia sangat komited dan bekerja keras untuk watak berkenaan.

“Dia sanggup memotong rambut dan menaikkan badan untuk menjadi seperti Shalin sebenar. Berapa ramai pelakon yang sanggup melakukan seperti itu? Jadi, saya sangat gembira dengan lakonannya.

“Semoga mesejnya mampu menjentik jiwa dan memperkenalkan lagi atlet boling yang tidak didendang kepada umum ,” jelasnya lagi.

Ratu Tenpin 2 bakal bersiaran Isnin hingga Khamis bermula 11 Julai depan di saluran Astro Ria.

POPULAR