PETALING JAYA – Melihat jumlah kenderaan yang semakin banyak tersadai di bengkel selama beberapa tahun, pastinya menimbulkan rasa dilema buat pengusahanya kerana ia bukan memberi keuntungan, sebaliknya kerugian besar kepada mereka.
Malah, situasi itu juga menyebabkan ada bengkel kenderaan yang seolah-olah menjadi tempat pembuangan besi buruk atau barangan terbuang.
Seorang pengurus bengkel dari Sungkai, Perak, Mohd. Yani Omar, 52, berkata, kebanyakan kereta yang dihantar ke bengkelnya masih belum dituntut pemilik sehingga ada yang terbiar lebih dari lima tahun.
Menurutnya, dia tiada pilihan selain membiarkan sahaja kereta tersebut tersadai di ruang parkir bengkel dan setiap hari berharap akan ada wakil yang datang mengambilnya.
“Makin banyak kereta tidak dituntut dengan alasan sama iaitu mereka belum ada duit untuk bayar kos baiki kenderaan, jadi mereka masih membiarkan kereta tersadai di bengkel. Malah, ada juga pemilik yang ‘ghaib’ sehingga tidak dapat dihubungi.
“Sebelum ini, setiap kali pelanggan hantar kereta, saya akan siapkan dahulu dan baru minta bayaran, menyebabkan saya pula yang menanggung kerugian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mohd. Yani berkata, situasi itu menyebabkan dia terpaksa meminta bayaran terlebih dahulu daripada pelanggan sebelum membaiki kerosakan kereta.
“Namun, langkah itu juga menyebabkan ada pemilik yang lambat mengambil kereta mereka, menyebabkan bengkel saya seperti pusat pembuangan sampah,” ujarnya.

Seorang pengusaha bengkel dari Kuala Selangor, Selangor, Tuan Azizul Tuan Azman, 48, berkata, terdapat juga pelanggan meninggalkan kenderaan mereka di bengkel sementara ingin mencari alat ganti sendiri.
“Apabila kita beri anggaran harga untuk baiki kereta, mereka kata mahal dan mahu cari alat ganti sendiri dan biarkan kereta sementara di bengkel.
“Bagaimanapun, dari seminggu, naik ke sebulan dan sekarang bertahun-tahun. Pelik sungguh, jauh betul mereka cari alat ganti yang kononnya murah,” ujarnya.
Seorang pembantu bengkel dari Kuala Nerang, Kedah yang ingin dikenali sebagai Hamzah, 30, berkata, dia pernah meminta pelanggan untuk mengambil segera kenderaan yang siap dibaiki kerana sudah terlalu lama di bengkel, namun mereka masih enggan disebabkan masalah kewangan.
“Ada yang sanggup biarkan kereta terdedah panas dan hujan. Keadaan ini lama-kelamaan boleh menyebabkan kerosakan dalaman seperti wayar putus digigit tikus, aksesori reput dan berkarat.
“Ikutkan hati saya, nak sahaja jual kepada kedai besi buruk atau alat ganti, namun ia harta orang lain dan kami tiada hak untuk lakukan seperti itu.
Tambah Hamzah, dia turut berpesan agar setiap pelanggan tidak lagi menyusahkan pihak bengkel untuk menjaga kenderaan mereka dengan ‘percuma’.
“Jika berdepan masalah kewangan, maklumkan kepada pihak bengkel, kami boleh mebaikinya secara beransur mengikut kemampuan mereka.
“Jangan disebabkan tidak cukup duit, kereta ditinggalkan di bengkel dan terus hilangkan diri sehingga menyusahkan,” katanya.














