fbpx

Tambang feri, teksi Pulau Pangkor naik RM3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Pangkor antara tempat percutian pilihan ramai.

LUMUT – Tambang feri dari jeti Marina Island dan Lumut ke Pulau Pangkor serta perkhidmatan teksi di dalam pulau peranginan itu dinaikkan sebanyak RM3 berkuat kuasa semalam.

Menerusi portal rasmi Marina Island iaitu PangkorFerry.com, tambang perjalanan sehala dewasa baharu RM10 atau RM20 bagi tiket pergi balik, manakala kanak-kanak RM5.50 sehala atau RM11 pergi balik, berkuat kuasa 1 Julai.

Sebelum ini, tiket sehala dewasa ialah RM7 atau RM14 pergi balik, manakala kanak-kanak ialah RM2.50 sehala atau RM5 untuk tiket pergi balik.

Sementara itu, tambang teksi yang menggunakan perkhidmatan van di dalam Pulau Pangkor turut naik sebanyak RM3 berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Pulau Pangkor, Muhamad Apendi Ramli, berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan pelbagai kos termasuk alat ganti kenderaan baru-baru ini, selain tidak pernah dinaikkan sejak kira-kira 15 tahun lalu.

Menurutnya, kenaikan itu tidak banyak berbanding peningkatan kos yang dialami pihaknya ketika ini tambahan pula harga barangan termasuk alat ganti kenderaan di pulau biasanya lebih tinggi daripada tanah besar, contohnya jika alat ganti berharga RM10 di Lumut tetapi bila tiba di Pulau Pangkor akan berharga RM25.

“Kenaikan harga pula hanya melibatkan beberapa laluan, contohnya jika dari jeti ke Teluk Nipah berharga RM15 untuk maksimum empat penumpang sebelum ini, sekarang menjadi RM18, tetapi tambang untuk perkhidmatan mengelilingi pulau tidak berubah iaitu tetap RM80 bagi maksimum empat penumpang.

“Kami berharap pengunjung memahami bebanan yang terpaksa kami tanggung kerana kenaikan ini sekurang-kurangnya memberi kami ruang untuk bernafas sedikit.

“Kali terakhir tambang teksi dinaikkan ialah sebanyak RM1 kira-kira 15 tahun lalu ketika ayah saya menjadi pemandu teksi,” jelasnya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI