fbpx
Pemain TFC II, Muhamad Safwan Mazlan (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Terengganu FC II rampas posisi pendahulu Liga Premier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC II (TFC II) merampas takhta pendahulu Liga Premier selepas menumpaskan Kuching City 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Sebelum ini skuad pelapis Sang Penyu itu berada di tangga keempat liga.

TFC II agak cemas pada awal aksi apabila rembatan pemain pelawat, Mohamad Alif Hassan hampir menerjah gawang pada minit ketujuh.

Ketua pasukan Kuching City FC, Joseph Kalang Tie (m-18) terus mengganas dengan hampir menghukum TFC II namun percubaan leretnya dari luar kotak penalti tersasar.

Peluang terbaik TFC II hanya menjelma pada minit ke-45 menyaksikan tolakan Nur Azfar Fikri Azhar hasil lorongan Izzan Syahmi Mustapa tinggi melepasi palang ketika penjaga gol sudah tertewas.

Dua minit selepas rehat, tuan rumah berpeluang memecahkan kebuntuan namun malangnya percubaan Muslihuddin Atiq’ Mat Zaid sekadar menggegarkan jaring tepi.

TFC II akhirnya ceria setelah Muhammad Safwan Mazlan menanduk masuk sepakan percuma Syaiful Haqim Shahrul pada minit ke-79 untuk gol tunggal perlawanan.

Lebih malang buat Kuching City FC yang terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain apabila Che Mohd. Arif Che Kamaruddin dilayangkan kad merah pada minit ke-89.

Kemenangan itu membolehkan TFC II memungut 22 mata di tempat teratas manakala Kuching City FC yang mengumpul 20 mata, di tangga keempat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR