fbpx

Seks luar tabii terhadap kanak-kanak, lelaki dijel 9 tahun, tiga sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak yang dilarikannya dari Klang, Selangor, bulan lalu.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azali Abu, 40, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah di Jalan Tun Fatimah, pada 16 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan.

Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu turut didakwa masing-masing empat pertuduhan bagi Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa telah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada 16 Jun 2022 kira-kira pukul 10 malam dan 17 Jun 2022 antara 9 pagi sehingga 10 malam di lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Batu Berendam di sini berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan bagi pengakuan dibuat tertuduh.

Mengikut hujahan, tertuduh telah melarikan mangsa dari Klang dan dibawa ke pangsapuri berkenaan untuk melakukan perbuatan terkutuk.

Kata Ahmad Sazali, tertuduh yang telah berusia 40 tahun telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang hanya merupakan seorang pelajar tingkatan satu.

Selepas mendengar hujah, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh.

Beliau turut menetapkan 28 Julai depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI