fbpx
GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Penguat kuasa perlu licik pantau peniaga ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM memerangi kegiatan haram, serbuan yang dijalankan secara terancang dan ‘mengejut’ adalah satu tindakan yang paling berkesan.

Pihak berkuasa perlu lebih licik, tangkas dan bijak daripada si penjenayah yang sentiasa mengubah modus operandi kegiatan haram mereka.

Begitu juga jika mahu menangani isu kenaikan harga barang ketika ini. Pemeriksaan mengejut perlu lebih kerap dilakukan secara menyeluruh, bukan sahaja di peringkat peniaga, malah pengeluar melibatkan semua premis termasuk kedai runcit.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri melakukan tinjauan mengejut buat pertama kali berkaitan situasi harga barangan di sebuah pasar raya di ibu negara.

Selepas tinjauan pada Ahad lalu itu, Ismail Sabri tidak menafikan terdapat kenaikan harga ayam serta barangan mentah lain.

Kata beliau, ayam misalnya sehingga semalam, kerajaan masih meneruskan subsidi dan mengekalkan harga siling RM8.90 sekilogram, namun pemborong sendiri jual kepada peruncit pada harga sama iaitu RM8.90 sekilogram.

Bagi beliau, harga ayam daripada pemborong perlu lebih rendah kerana peruncit juga perlu mengambil keuntungan. Perdana Menteri juga berkata, beliau akan melakukan lebih banyak tinjauan yang sama selepas ini.

Langkah yang diambil Perdana Menteri perlu dicontohi oleh menteri, timbalan menteri serta agensi kerajaan yang berkaitan supaya pengeluar atau pembekal sehinggalah peruncit dan peniaga tidak melanggar harga siling.

Tingkatkan operasi mengejut harga barang, kalau boleh menyamar sebagai rakyat biasa dengan membuat tinjauan secara solo, lakukan. Yang biasa dilihat di media, mereka pergi secara ‘berombongan’ bersama pelbagai agensi.

Malah selepas tinjauan itu, harga barang dikatakan pula masih berpatutan, namun hakikatnya, rakyat yang membeli mengetahui situasi sebenar.

Kita sedar kerajaan sedang sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga. Langkah terbaharu adalah meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram mulai hari ini.

Harga siling runcit telur ayam pula ditetapkan pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji).

Bagaimanapun, tanpa pemeriksaan berterusan dan tinjauan mengejut, kita bimbang jika ada pengeluar yang menerima subsidi kerajaan akan memperdaya peruncit dan akhirnya pengguna menjadi mangsa.

Mulai hari ini, kita lihat sama ada ayam mampu bertahan di bawah harga siling RM9.40 sekilogram atau lebih mahal seperti sebelum ini sehingga ada melebihi RM10, tambahan pula Hari Raya Aidiladha akan disambut tidak lama lagi. -KOSMO! ONLINE

POPULAR