fbpx

Jumlah kanak-kanak kekurangan zat makanan masih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak yang mendapat akses pemakanan yang baik akan membesar dengan sihat sehingga peringkat dewasa. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Le­bih satu daripada 10 kanak-kanak bandar yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur makan kurang daripada tiga kali sehari, demikian menurut kajian berkaitan kemiskinan dan kekurangan kanak-kanak.

Kajian yang dibuat Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) juga mendapati, kira-kira 97 peratus isi rumah yang tinggal di rumah pangsa kos rendah tidak dapat menyediakan makanan sihat untuk kanak-kanak kerana harga makanan yang tinggi.

Mengulas mengenai kajian tersebut, Penyelidik utama bagi Kajian Nutrisi Asia Tenggara II (SEANUTS II) di Malaysia, Prof. Dr. Poh Bee Koon berkata, amalan pemakanan yang tidak baik untuk kehidupan kanak-kanak berusia tiga tahun boleh ­menyebabkan proses pembesaran mereka terbantut.

Amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif untuk bayi berusia sehingga enam bulan adalah salah satu cara penting untuk mencegah daripada proses pembesaran terbantut, berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak di negara ini perlu mendapatkan akses kepada pemakanan yang baik supaya mereka boleh membesar menjadi orang dewasa yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Laporan Pemakanan Global 2020, yang menilai secara bebas keadaan pemakanan di seluruh dunia mendapati, Malaysia berada di landasan untuk memenuhi sasaran global bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun memiliki berat badan berlebihan.

“Kekurangan zat makanan kanak-kanak masih tinggi di ­negara ini berkemungkinan besar disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak mencukupi.

“Sebagai contoh, lebih separuh daripada kanak-kanak tidak memenuhi cadangan pengambilan nutrien yang disyorkan se­perti tenaga, kalsium dan vitamin D.

“Kanak-kanak di Malaysia juga menghadapi malnutrisi berganda iaitu kekurangan zat makanan dan lebihan zat makanan berat badan berlebihan.

Gambar hiasan

“Kekurangan zat makanan mempunyai banyak kesan yang tidak baik termasuk kecerdasan fikiran dan produktiviti yang le­bih rendah.

“Manakala berat badan berlebihan atau obesiti pula boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak, kesejahteraan sosial dan emosi serta harga diri malah untuk kesan jangka panjang, ia boleh membawa kepada kemungkinan penyakit tidak berjangkit yang lebih tinggi,’’ jelas beliau.

Menurut Bee Koon, perlunya dasar dan strategi yang diperkukuhkan untuk membantu mengurangkan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Cadangan lain adalah dengan meningkatkan kebolehcapaian kepada makanan yang sihat dan pelbagai nutrien serta meningkatkan pendidikan pemakanan dan promosi kesihatan kepada orang ramai, khususnya golongan ibu bapa muda,’’ ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI