fbpx
Aksi Lee Zii Jia sewaktu menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada perlawanan pusingan kedua Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil.FOTO : FARIZ RUSADIO

Kesilapan mudah hukum Zii Jia di Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menerima kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia apabila tersingkir seawal pusingan kedua hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu, Zii Jia terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 19-21, 21-19, 16-21 kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Meskipun menampilkan aksi cukup konsisten sepanjang perlawanan itu, namun beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pada penghujung set ketiga menyebabkan pemain lawan mendapat mata percuma.

Bagaimanapun, Zii Jia menjelaskan, dia sudah mengeluarkan permainan sebenar pada pertemuan itu, namun masih belum mampu untuk menewaskan pemain yang menghuni ranking ke-26 dunia tersebut.

“Permainan Shesar cukup baik hari ini, sama seperti beberapa perlawanan terdahulu. Saya akui dia adalah lawan yang cukup sukar, jadi saya perlu terima kekalahan ini dengan hati terbuka.

“Dalam setiap kejohanan, saya sentiasa keluarkan segala-galanya termasuk Terbuka Malaysia. Memang adat permainan ada menang dan kalah tetapi saya tahu di mana tahap permainan sekarang,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Shesar mengakui, dia memanfaatkan setiap kesilapan mudah yang dilakukan Zii Jia pada penghujung set ketiga sehingga dapat menjarakkan diri dengan kelebihan 19-16.

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan hari ini kerana dapat mengeluarkan permainan terbaik saya. Sudah tentu saya gembira memandangkan sukar untuk menang dengan pemain tuan rumah di sini.

“Pada set ketiga, saya hanya fokus pada permainan sendiri kerana tidak mahu tertekan. Kemudian, saya lihat Zii Jia mula buat kesilapan mudah dan dari situ saya mengambil peluang untuk mengutip mata,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

POPULAR