fbpx

55 pusat hiburan diserbu dalam tempoh enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara serbuan yang dilakukan polis di pusat hiburan di sekitar ibu negara

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum berkenaan pendedahan yang dibuat oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mengenai senarai 15 pusat hiburan yang didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihak PDRM tidak akan berkompromi dan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

“Buktinya apabila pihak polis telah menjalankan sebanyak 55 serbuan di pusat hiburan di Kuala Lumpur bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.

“Manakala 194 serbuan yang sama telah dijalankan di seluruh negara bagi tempoh yang sama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan pusat hiburan di Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah berjaya merampas sebanyak 5,135.57 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah.

“Sebanyak 124 kes dengan seramai 160 orang berjaya diberkas dibawah Seksyen kesalahan yang termaktub dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala bagi serbuan pusat hiburan seluruh negara pula, sebanyak 9,208.81 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah telah dirampas.

“Sebanyak 449 kes dengan 504 orang berjaya ditangkap dibawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub dibawah akta yang sama,” katanya.

Jelas beliau, bagi mencegah aktiviti maksiat pula, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menjalankan Op Noda di lokasi-lokasi yang disasarkan seperti rumah urut, hotel serta pusat hiburan.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak 995 serbuan telah dijalankan untuk tempoh Januari hingga April 2022 dengan tangkapan seramai 2,948 orang yang terlibat dalam aktiviti pelacuran dan pusat hiburan di seluruh negara.

“Di Kontinjen Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 420 serbuan telah dijalankan dengan tangkapan seramai 1,115 orang bagi tempoh berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noorsiah memberitahu, 55 serbuan juga telah dibuat melalui Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan PDRM dengan tangkapan seramai 177 orang dalam tempoh sama, melibatkan serbuan ke atas premis-premis hiburan di seluruh negara.

Dalam pada itu, ujar beliau, dalam membanteras aktiviti haram ini, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan aktiviti persundalan.

Bahkan katanya, PDRM juga bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi memantau sesawang internet bertujuan menyekat kegiatan sedemikian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI