fbpx

Lelaki sakit mental dihukum penjara 12 tahun hina Raja Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida. - Thai PBS

BANGKOK – Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental dijatuhi hukuman penjara selama  12 tahun selepas membuat kenyataan mengkritik keluarga diraja Thailand, lapor laman berita Thaiger.

Lelaki berusia 29 tahun dan dikenali sebagai Punyaphat  itu menulis beberapa catatan di laman  Facebook Royalist Marketplace. Dia mempertikaikan populariti keluarga diraja Thailand dan kekerapan lawatan Raja Vajiralongkorn ke Jerman.

Pengarah urusan sebuah syarikat sukan tempatan, Siwapan Manitkul melaporkan komen Punyaphat kepada polis. Punyaphat kemudian didakwa mengikut Seksyen 112 kanun jenayah negara atau dikenali sebagai undang-undang lèse majesté.

Siwapan  telah melaporkan sekurang-kurangnya 9 individu lain kerana didakwa memfitnah keluarga diraja Thailand di media sosial sepanjang tahun  2020.

Mahkamah Wilayah Samut Prakan memutuskan bahawa empat komen  Punyaphat di platform Royalist Marketplace pada 9 dan 10 Mei 2020 bertujuan untuk menghasut kebencian terhadap raja dan permaisuri negara itu.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah kerana memfitnah keluarga diraja dan melanggar Akta Jenayah Komputer.

Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada 6 tahun kerana tertuduh mengaku salah.

Ibu Punyaphat berkata, anaknya mengalami sindrom kurang daya tumpuan dan kecelaruan personaliti  obsesif-kompulsif.

Menurut wanita berkenaan, anaknya hanya boleh berkomunikasi secara terhad, tidak dapat mengawal dirinya ketika menghadapi tekanan dan bertindak meninggalkan rumah bersendirian.

Mahkamah bagaimanapun berpuas hati dengan kemampuan Punyaphat membantah pertuduhan tersebut dan memutuskan bahawa dia tidak perlu berjumpa pakar psikiatri kerana boleh bercakap tentang dirinya.

Peguam Punyaphat membayar ikat jamin dan akan merayu keputusan mahkamah.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin 225,000 baht (RM27,878) sementara menunggu keputusan rayuan kes tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI