Oleh Nor Amirah Mahmuddin
SAYA bersama tiga rakan mula merancang penjelajahan ke Switzerland selama hampir sebulan bagi memastikan kami tidak terlepas tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di sana.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Zurich pada Mei lalu memakan masa selama lebih 12 jam. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich, kami menyewa sebuah kereta sepanjang lima hari di sana.
Destinasi pertama adalah Iseltwald yang menempatkan hostel untuk kami bermalam selama dua hari. Pemanduan dari Zurich ke Iseltwald yang merupakan sebuah kampung memakan masa hampir tiga jam.
Penjelajahan kami di Iseltwald bermula pada hari kedua dengan meneroka kawasan sekitar termasuk tempat penggambaran drama popular Korea Selatan, Crash Landing on You.
Pemandangan di sini sangat memukau dengan berlatarbelakangkan Tasik Brienz dan pergunungan bersalji.
Kemudian, kami menuju ke Lauterbrunnen yang mempunyai tarikan paling terkenal iaitu Air Terjun Staubbach. Ia merupakan air terjun tertinggi di Eropah dengan ketinggian mencecah 300 meter.
Kami menghabiskan masa hampir tiga jam di sini bagi menikmati pemandangan indah sambil menghirup kopi panas. Kami juga tidak melepaskan peluang merakam gambar sebagai kenangan.
Selesai di Lauterbrunnen, kami bertolak ke Tasik Blausee yang menawarkan pemandangan yang cukup ‘ajaib’. Air di tasik ini berwarna kehijauan sambil dikelilingi pohon rendang.
Menurut penduduk tempatan, tasik itu begitu jernih kerana airnya disalurkan mata air yang kaya dengan mineral dari sumber bawah tanah.
Tasik ini juga terkenal dengan mitos cinta memilukan.
Memandangkan pada pukul 9 malam, kawasan di sekitarnya masih cerah ketika musim panas, kami tidak melepaskan peluang menjelajah ke dua lagi tempat iaitu Interlaken dan Grindelwald.
Untuk makluman, Interlaken merupakan sebuah bandar peranginan tradisional terletak di pergunungan Bernese Oberland. Ia dikelilingi rumah lama, Tasik Thun dan Tasik Brienz.
Grindelwald pula merupakan kawasan pergunungan yang terkenal dengan aktiviti luncur salji.
Apa yang menarik di sini, pemandangannya cukup mengujakan dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Selepas puas menjelajah, kami kembali ke hostel untuk berehat secukupnya. Pada hari ketiga, kami memulakan perjalanan dari Iseltwald menuju ke Grimentz yang memakan masa dua jam.

Kami terpaksa melalui laluan berliku di lereng gunung sebelum tiba ke situ. Ia adalah sebuah perkampungan kecil dengan rata-rata rumahnya diperbuat daripada kayu.
Untuk makluman, kawasan ini menawarkan pemandangan sangat indah pada musim sejuk, terutamanya ketika sambutan Krismas. Tarikan lain di sini adalah pemandangan Lembah Rhone yang begitu menakjubkan.
Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Zinal yang terletak pada ketinggian 1,675 meter dari aras laut. Di sini menempatkan sebuah perkampungan kecil.
Suhu di sini sangat sejuk iaitu sekitar 4 darjah Celsius, selain suasananya cukup tenang dan mendamaikan. Kami memilih untuk bermalam di situ sebelum bergerak ke destinasi seterusnya keesokan harinya.
Pada sebelah pagi keesokannya, kami meneruskan perjalanan ke Locarno, sebuah bandar menarik untuk dikunjungi. Bandar ini terkenal dengan penganjuran Festival Filem Antarabangsa Locarno pada Ogos setiap tahun.

Pada sebelah petang, kami berkesempatan menjelajah perkampungan Foroglio dan Corippo. Foroglio menempatkan sebuah kampung tercantik di Switzerland berlatarbelakangkan air terjun.
Sementara Corippo pula adalah sebuah perkampungan paling terpencil di Switzerland dengan jumlah penduduk seramai sembilan orang. Kehidupan mereka di situ cukup santai.
Kami bermalam di sebuah tapak perkhemahan di situ. Ia bukan sahaja menjimatkan, bahkan kami boleh melihat budaya dan cara hidup penduduk tempatan.
Hari berikutnya, kami bergerak ke Zurich bagi menaiki pesawat pulang ke tanah air pada sebelah malam.
Sebelum bertolak pulang, kami sempat membeli barangan cenderahati untuk dibawa pulang seperti jam tangan berjenama mewah yang cukup sinonim dengan Switzerland.
Pada saya, perjalanan kali ini cukup menarik kerana mata kami dijamu dengan pemandangan indah alam semula jadi, sekali gus menggambarkan betapa besarnya kekuasan Allah.
Secara keseluruhannya, kami hanya menghabiskan sekitar RM7,000 seorang sepanjang perjalanan di Switzerland.














