fbpx

Polis buru lelaki berjubah cuba culik kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Polis memburu lelaki berjubah putih yang dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan menggunakan sebuah kereta di Jalan Baru Kampung Krubong, Krubong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian telah dilaporkan oleh bapa mangsa mendakwa anaknya berusia enam tahun cuba diculik suspek.

Katanya, mengikut laporan dibuat, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa bersama-sama kakak dan sepupunya berjalan kaki pulang rumah selepas habis mengaji di kawasan berhampiran.

“Ketika melalui Jalan Baru Kampung Krubong, anak kedua mangsa berusia enam tahun dikatakan telah ditegur seorang lelaki memakai jubah putih dan berkopiah yang menaiki kereta jenis Proton Persona berwarna silver.

“Suspek kemudian telah merentap tangan mangsa cuba menariknya masuk ke dalam kereta, namun kakak serta sepupunya sempat menghalang dan mereka melarikan diri ke rumah ibu saudara berhampiran,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bapa mangsa memberitahu beberapa orang awam turut bertembung dengan suspek dan mengecam nombor pendafraran kenderaan tersebut.

“Bagaimanapun apabila disemak, kita syaki dua nombor yang digunakan adalah palsu dan tidak sepadan dengan jenis kenderaan digunakan suspek.

“Melalui semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nombor tersebut berdaftar atas kenderaan jenis Nissan Cefiro berwarna biru dan motosikal jenis Honda,” katanya.

Ujarnya lagi, saksi juga memberitahu Proton Persona berwarna silver yang dinaiki suspek telah dicat dengan warna hitam di bahagian pintu pemandu.

Christopher berkata, orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat termasuk rakaman jenayah itu boleh tampil untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI