fbpx
FILEM Jurassic World Dominion masih mengganas di pawagam tanah air.

Jurassic World Diminion kerakusan, masa untuk ‘kepupusan’ dinosaur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK bercerita tentang naskhah yang masih ulang berulang menjual ‘dongeng’ dinosaur, Jurassic World Dominion, penulis memiliki pendapat berbelah-bahagi. Ada masanya terasa tersepit antara nilai nostalgia dengan kualiti francais yang dicernakan kali ini.

Sungguh, francais tersebut merupakan antara blockbuster kesayangan dunia. Sedari awal kemunculannya sekitar 1993 menerusi Jurassic Park, jenama tersebut telah bersarang dalam jiwa ramai audiens.

Sehubungan itu, saat khabar ‘dihidupkan’ semula menerusi Jurassic World Dominion termasuk ‘rasuah kecil’ membawakan karakter-karakter lama seperti Kayla Watts lakonan DeWanda Wise, Ramsay Cole (Mamoudou Athie), Dr. Lewis Dodgson (Campbell Scott) dan ramai lagi, semestinya membuat adrenalin penonton mencanak untuk segera ke panggung wayang.

Malangnya, barangkali disebabkan keterujaan untuk mengangkat elemen berbaur nostalgia menjadikan Jurassic World Dominion sedikit kucar-kacir dari segi naratif yang merupakan tunjang utama pembikinan sesebuah karya.

Kurang emosi, naratif berkecamuk

Akibatnya, kurang hubungan emosi antara filem berkenaan dengan audiens yang duduk di bangku penonton.
Serba-serbi terasa seolah-olah ‘dipaksa’ hanya demi menjual perihal nostalgia dengan membelakangkan persoalan bahawa kebanyakan penonton sudah lama tidak dimomokkan dengan mitos atau dongeng cerita melibatkan dinosaur.

Seperti apa yang dinyatakan pada perenggan terdahulu, terlalu banyak perihal yang ingin disumbat dengan permainan atau terjemahan karakter yang boleh disifatkan kurang cermat.

Teraju utama, Chris Pratt sebagai Owen Grady tidaklah terlalu menonjol dan pada masa sama, tidaklah mengecewakan.

Buat penulis secara peribadi, usai meninggalkan bangku panggung, tidak ada impak kisah Grady yang mengekori jalan pulang.

Begitu juga impak sederhana yang ditinggalkan Claire Dearing lakonan Bryce Dallas Howard.

Sungguhpun begitu, satu permainan karakter yang berbekas dalam jiwa penulis adalah apa yang dijayakan DeWanda Wise menerusi watak Kayla Watts.

Aktres itu bijak menyeimbangkan antara elemen serius dan pada masa sama sarat lelucon.

Sementara itu, apalah erti sebuah filem francais Jurassic tanpa entiti bernama dinosaur. Seperti terjemahan karakter, sebenarnya terlalu banyak dinosaur yang menagih perhatian penonton dalam Jurassic World Dominion.

Perihal tersebut juga mendapat bantuan teknik janaan komputer (CGI) yang berlebih-lebihan.

Dinosaur, CGI

Mungkin satu kesilapan apabila menyaksikan imej dongeng tersebut selepas menonton Top Gun: Maverick yang semuanya dijayakan tanpa terlalu atau tidak langsung bergantung harap dengan teknologi CGI.

Bukan hanya dari segi bilangan dinosaur, ‘kerakusan’ energi yang dicernakan makhluk berkenaan adakala membuatkan audiens seperti terhambat oleh penceritaan atau naratif ingin disampaikan pengarah.

Buat kelompok yang taksub dengan dunia dinosaur, Jurassic World Dominion boleh membuatkan adrenalin mereka mengalir deras dan tidak salah filem berkenaan menjadi pilihan ke panggung.

POPULAR