fbpx

Durian Pahang terbaik, sedap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

“Mari-mari rasa durian Pahang, terbaik dan sedap.”

Belum pun memasuki musim durian di negeri ini, tetapi durian Pahang sudah dijual di Lembah Klang.

Itulah taktik sebahagian peniaga tidak bertanggungjawab yang menipu pembeli bagi melariskan jualan serta memastikan durian mereka dijual dengan harga yang tinggi.

Keenakan durian Pahang sama ada musang king atau premium kampung sememangnya dikatakan tiada tandingan de­ngan durian lain.

Pahang sememangnya terkenal dengan durian seperti musang king yang hidup subur khususnya di Raub, Bentong, Jerantut dan Lipis.

Berdasarkan rekod daerah Raub yang dikatakan mempunyai tanah yang paling subur untuk penanaman musang king yang mana daerah emas itu mempunyai lebih 600,000 pokok durian yang direkodkan pada 2020 di atas tanah seluas 9,826 hektar.

Pada tahun 2020, jumlah pengeluaran durian yang direkodkan di daerah Raub sahaja adalah sebanyak 81,996 tan metrik dengan hasil jualan RM1.493 bilion.

Bagi 2021, pengeluaran pelbagai jenis durian di Pahang merekodkan sebanyak 107,385.7 tan metrik dengan anggaran nilai lebih RM2 bilion.

Selain itu, Pahang juga mempunyai durian kampung premium setanding musang king seperti durian hijau, durian beserah dan durian Chok Villa yang menjadi rebutan penggemar raja buah itu.

Kedatangan musim durian di Pahang bermula dua minggu lalu pastinya memberi berita gembira kepada penggemar durian.

Jadi tidak hairanlah setiap kali hujung minggu daerah seperti Bentong, Raub dan Jerantut pas­tinya dipenuhi penggemar raja buah itu yang datang menikmati keenakan durian Pahang.

Meskipun harga yang agak tinggi iaitu RM25 sehingga RM60 sekilogram bagi musang king ia tidak menjadi penghalang kepada peminat durian.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk datang ke Pahang pastinya hanya membeli daripada penjual di kawasan masing-masing.

Namun, siapa tahu durian yang dijual itu dari Pahang atau sebaliknya dari tempat lain yang menggunakan nama ‘durian Pahang’ sebagai pelaris.

Penipuan seperti ini tidak wajar sekali dan pihak berkaitan perlu mengambil perhatian bagi memastikan penggemar durian Pahang tidak terus tertipu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd. Soffi Abdul Razak, penipuan penjualan durian Pahang khususnya di ibu kota dibimbangi akan menjejaskan pengusaha durian ‘asli’ Pahang.

Sehubungan itu, katanya, dalam mengatasi isu ini kerajaan negeri bercadang mewujudkan Lembaga Durian Pahang yang akan melibatkan pelbagai pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri dan pemain industri.

Katanya, penubuhan lembaga ini akan dapat mewujudkan satu standard durian Pahang bagi menjamin kualiti raja buah ber­kenaan.

Semoga ‘Lembaga’ yang bakal ditubuhkan ini dapat memastikan peminat tegar durian Pahang tidak tertipu dan dapat menikmati keenakan durian Pahang di luar negeri Tok Gajah.

Bagaimanapun, jangan pula nanti buah durian negeri lain pula dibawa dijual di Pahang dengan nama Durian Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI