ARTIS kertas atau paper artist, Dora Harun mempunyai bakat mengagumkan dalam seni kertas sehingga khidmatnya didambakan oleh pelbagai pihak meliputi pusat beli-belah, syarikat, premis perniagaan, hospital dan sebagainya untuk menghias premis, acara serta menghasilkan produk kraf hanya daripada kertas.
Dora menganggap ilmu asas dalam bidang seni juga merupakan satu elemen penting sebelum bergelar seorang artis kertas memandangkan ia akan membantu seseorang itu untuk mempelajari teknik serta kaedah yang tepat penghasilan hasil seni.
Selama bergelar artis kertas, antara hasil seni yang paling diingati Dora adalah dekorasi Blooms of Prosperity di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur sempena Tahun Baru Cina yang lalu.
—————————————————————————————————————————————————————————————–
BERBEKALKAN imaginasi dan kreativiti yang ada pada dirinya, Dora Haron, 41, mampu mencipta satu karya seni mengagumkan dengan hanya menggunakan sekeping kertas.
Bagi Dora yang merupakan seorang artis kertas atau paper artist, sifat kertas yang versatil membolehkan dia menterjemah dan menukar bentuk helaian itu kepada satu hasil seni yang cantik dan unik.
Daripada kertas, Dora mampu menghasilkan pelbagai objek dan figura atau hiasan yang menarik tidak kira saiz kecil atau besar.
Maka, tidak hairanlah bakatnya banyak digunakan oleh pelbagai pihak meliputi pusat beli-belah, syarikat, premis perniagaan, hospital dan sebagainya sama ada untuk menghiasi premis, acara atau menghasilkan produk kraf hadiah.
Memang ramai orang boleh melipat kertas, namun karya-karya seni kertas Dora boleh dikatakan cukup mencuri perhatian. Dora yang sebelum ini merupakan seorang perancang perkahwinan berkata, dia mula ‘mengenali’ seni kertas sejak 10 tahun lalu.

DIBERI kepercayaan menghias pusat beli-belah Pavilion semasa Tahun Baru Cina lalu.
“Pada asalnya saya menghasilkan dekorasi pada dulang hantaran dan pelamin untuk majlis-majlis perkahwinan dengan menggunakan bunga segar.
“Namun, selepas satu ketika, saya mulai berasa bosan dan mahukan sesuatu yang baharu. Justeru, saya mula menghasilkan bunga daripada kertas dan mula jatuh cinta dengan keunikan kertas sehinggalah sekarang,” katanya kepada K2.
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia cukup tertarik dengan kertas kerana sifatnya yang pelbagai memandangkan ia boleh dilipat, dikoyak, digunting malah boleh direbus bersama gam untuk membentuk satu hasil seni.
“Kertas merupakan sesuatu yang amat ringkas, namun dalam masa yang sama ia mudah untuk dibentuk.
“Anda boleh ‘memanipulasi’ kertas dengan pelbagai cara daripada melipat sehinggalah mengisarnya bagi menghasilkan sesuatu karya seni menakjubkan,” kata Dora yang khidmatnya pernah digunakan syarikat Duck, Clarins, Naelofar, The Body Shop dan Bookxcess.
Dora telah menghasilkan pelbagai jenis karya seperti origami, bunga kertas, topeng muka kertas tiga dimensi yang dipanggil low poly, seni potongan kertas dan macam-macam lagi.
Melihat cara dia melipat kertas, seseorang pasti tertanya-tanya bagaimana dia mampu melakukannya.
“Jika anda tanya saya, apa skil asas yang perlu ada dalam seni kertas ini, jawapannya adalah imaginasi.
“Jika orang lain membaca buku, saya pula membaca foto. Saya menyimpan pelbagai jenis gambar dan menjadikannya sebagai rujukan.
“Setiap kali saya mendapat idea atau inspirasi untuk menghasilkan sesuatu, ia sudah divisualkan dalam minda saya,” jelas Dora.

Tambahnya, mereka yang berminat dengan seni kertas juga memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi memandangkan untuk menyiapkan sesuatu hasil seni, mereka perlu duduk dan melakukannya secara berperingkat.
Dora menganggap ilmu asas dalam bidang seni juga merupakan satu elemen penting sebelum bergelar seorang artis kertas memandangkan ia akan membantu seseorang itu untuk mempelajari teknik serta kaedah yang tepat penghasilan hasil seni.
Selama bergelar artis kertas, antara hasil seni yang paling diingati Dora adalah dekorasi Blooms of Prosperity di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur sempena Tahun Baru Cina yang lalu.
“Ia merupakan satu projek paling mencabar memandangkan saya perlu bekerja dan menghasilkan dekorasi pada ruangan yang cukup besar.
“Bagi projek tersebut, pelbagai jenis dekorasi seperti origami dan juga low poly harimau dengan menggunakan teknik lapisan dihasilkan bagi menjadikan ia nampak seperti sebuah lukisan,” ujarnya yang mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan projek tersebut.

Selain dekorasi Tahun Baru Cina, Dora juga cukup berbangga dengan satu lagi hasil kerjanya yang menterjemahkan folikel rambut haiwan di bawah mikroskop dalam bentuk seni kertas.
Melihat kepada ketelitian, kehalusan dan keaslian imej bersaiz 4 x 5 kaki (122 X 152 sentimeter) itu, seseorang pasti tidak menduga bahawa ia sebenarnya dihasilkan menggunakan kertas yang ditampal dan diwarnakan begitu kemas.
“Berpandukan imej folikel rambut yang diberikan pihak hospital kepada saya, saya kemudiannya menghasilkan seni kertas menerusi pelbagai teknik.
“Biarpun agak mencabar, namun saya amat berbangga apabila melihat hasil seni tersebut yang kini dibingkaikan dan dipamerkan di salah sebuah hospital di negara ini,” ujarnya.
Kongsi Dora, satu karya seni berasaskan kertas bersaiz kira-kira 12 inci atau sebesar satu pinggan makan lazimnya mengambil masa sekitar 45 minit hingga dua jam untuk disiapkan.
Bercerita tentang cabaran sebagai seorang artis kertas, Dora berkata, ia lebih kepada tanggapan orang ramai yang menyifatkan kertas sebagai sesuatu yang murah.

OBJEK berbentuk ikan koi yang dihasilkan daripada kertas.
“Apabila saya membentangkan idea seni kertas, ada pihak yang menganggap ia sebagai sesuatu seni yang bersifat murah.
“Namun, kertas yang kami gunakan adalah daripada jenis tebal, berkualiti tinggi serta tahan lama biarpun selepas dikoyak atau diwarnakan,” jelasnya.
Biarpun menggunakan banyak kertas untuk projek-projeknya, Dora masih memikirkan tentang kelestarian alam sekitar apabila semua kertas yang digunakan diperoleh dari hutan yang mematuhi piawaian sosial Forest Stewardship Council (FSC) yang ketat.















