fbpx
ANZALNA mengakui sanggup berhabis demi gaya anak-anaknya.

Anzalna tolak jenama tiruan, sanggup berhabis gayakan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon popular Anzalna Nasir sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk menggayakan anak-anak dengan jenama mewah sekali gus tidak akan sesekali memakaikan mereka produk tiruan.

Menurut Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir, 34, sebagai ibu, dia tidak akan berkira untuk berkongsi rezeki dengan anak-anak termasuk membelikan mereka pakaian jenama mewah.

Anzalna juga tidak sanggup memalukan diri sendiri dan berasa kasihan jika anak-anak dipakaikan jenama mewah tetapi palsu. Dia bagaimanapun menasihatkan peminat agar berbelanja mengikut kemampuan agar tidak menyusahkan diri sendiri.

“Ada rezeki lebih, kongsi dengan anak. Jangan berkira sangat sebab anak pembawa rezeki.

“Tiada barangan tiruan! Kasihan anak kalau orang tahu, buat malu sahaja. Lebih baik berbelanja mengikut kemampuan diri walaupun tidak berjenama,” katanya.

Pelakon drama Dendam Aurora itu berkata demikian bagi menjawab soalan yang diberikan oleh seorang pengikut Instagramnya semalam yang bertanya mengenai isu pembaziran membeli pakaian kanak-kanak berharga ribuan ringgit.

Dalam perkongsian lain, dia juga mengakui akan berasa rimas sekiranya melihat anak-anaknya dalam keadaan tidak terurus walaupun ketika berada di rumah.

“Anak-anak duduk rumah pun perlu disiapkan.

“Saya tidak boleh melihat anak sendiri dalam keadaan tak terurus atau serabut, buat rasa rimas!” katanya lagi.

Terdahulu, Anzalna mencuri perhatian ramai apabila memuat naik video pembelian pakaian jenama mewah, termasuk Balmain dan Versace untuk dua anaknya.

Anzalna yang mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mohamad Hanif Zaki pada 2016 dikurniakan dua orang cahaya mata Mohamad Eidrees, 2, dan Mohamad Emirhan yang kini berusia sebulan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR