fbpx

Sumbat 20 PATI Myanmar dalam Toyota Estima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 20 PATI warga Myanmar berada di dalam Toyota Estima yang ditahan di Jeram Perdah, Pasir Mas malam tadi. - Foto IHSAN PGA

PASIR MAS – Cubaan dua tekong darat untuk membawa masuk seramai 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk enam wanita gagal apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka ditahan Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jeram Perdah tengah malam tadi.

Anggota PGA menahan MPV jenis Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dan pembantunya, 25 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas melihat kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan di simpang Kampung Pok Jak di sini.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan, Deputi Superitendan K. Ramesh berkata, anggota bertugas terus mengekori MPV itu sehingga ke Kampung Tasik Berangan sebelum menahan kenderaan tersebut di Jeram Perdah.

Menurutnya, bagaimanapun, salah seorang lelaki dipercayai pembantu tekong darat dilihat keluar melalui pintu depan sebelum bertindak melarikan diri.

“Anggota PGA terus mengejar lelaki itu sebelum menahannya di kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan mendapati, seramai 20 orang PATI warga Myanmar termasuk enam orang wanita berusia dalam lingkungan 17 hingga 35 tahun berada di dalam Toyota Estima itu.

“Kesemua PATI tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka dipercayai memasuki negara ini haram melalui Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramesh, dua tekong darat bersama 20 PATI yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 (J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1953/1969. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI