fbpx

Lelaki Bangladesh dalang sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee menunjukkan antara barangan yang dirampas pada sidang akhbar berkenaan Sindiket Agensi Pekerjaan Haram Didalangi Pemegang MyPR di Ibu Pejabat JIM hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kegiatan seorang lelaki warga asing mendalangi sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) sejak dua tahun lalu sehingga mampu mengaut keuntungan lebih RM2 juta tidak berpanjangan apabila dia berjaya dicekup oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek warga Bangladesh berusia 35 tahun berstatus pemegang Pemastautin Tetap (MyPR) itu telah ditahan bersama tiga lagi lelaki Bangladesh dan dua wanita tempatan.

“Kesemua mereka yang berusia 36 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua premis berasingan masing-masing di Jalan Lumut, Kuala Lumpur dan Pandan Cahaya, Ampang, di Selangor.

“Dalam serbuan pertama di Jalan Lumut itu, kami berjaya menahan suspek utama yang juga merupakan dalang sindiket itu bersama isterinya warga tempatan dan seorang pekerja warga Bangladesh,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, pada serbuan kedua di Pandan Cahaya pula, tiga lagi ditahan masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh bersama isterinya, warga tempatan dan seorang pekerja warga Bangladesh.

Katanya, serbuan dilakukan telah berjaya merampas 488 naskah pasport antarabangsa, 12 cap syarikat, dua set komputer juga wang tunai berjumlah RM38,308.

“Siasatan mendapati sindiket ini berselindung di sebalik syarikat pembinaan serta agensi pekerjaan haram dan mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,200 bagi setiap permohonan RTK.

“JIM ingin menegaskan bahawa jabatan ini tidak pernah melantik mana-mana individu atau agensi dalam urusan RTK,” tegas beliau.

Tambah Khairul Dzaimee, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

“Siasatan mendapati, dalang sindiket mula memasuki Malaysia sebagai pekerja asing pada 2010 sebelum berkahwin dengan wanita tempatan pada 2015 dan memperoleh MyPR pada tahun yang sama.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut dan jika didapati bersalah, kami boleh batalkan taraf MyPR lelaki warga Bangladesh itu sebelum diusir serta disenarai hitam untuk masuk ke negara ini,”jelas beliau.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI