fbpx

Kajian terperinci pastikan Bon Odori tepati syarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menyarankan agar kajian lebih terperinci dibuat bagi memastikan status sebenar sambutan perayaan tradisi Jepun, Bon Odori.

Menerusi kenyataan dalam slot Bayan Linnas Siri Ke-254 disiarkan laman sesawang rasmi agensi itu hari ini, ia juga bagi mengesahkan sama ada acara tersebut menepati batas syarak.

“Justeru dicadangkan kajian lanjut bagi memastikan kedudukan festival tahunan ini ada kaitan hubungan kepercayaan yang bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan,” katanya.

Hantaran itu merujuk isu kontroversi penganjuran program Bon Odori oleh Kedutaan Jepun ke Malaysia yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, Selangor pada 16 Julai depan.

Mengulas lanjut, PMWP menegaskan bahawa, meskipun Bon Odori telah lama berevolusi kepada aktiviti kekeluargaan, tetapi umat Islam masih perlu wajib mematuhi segala hukum syarak.

“Jika program itu ada elemen bertentangan Islam seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat, minum arak dan sebagainya, maka wajib dihindarkan daripada terlibat bersubahat,” ujarnya.

Panduan asas itu selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam pada 2005 yang membincangkan isu hari kebesaran bukan Islam.

Persidangan itu telah menetapkan kriteria perayaan yang boleh dihadiri umat Islam antaranya tiada upacara tertentu atau perbuatan khas yang berlawanan dengan akidah dan hukum syarak.

PMWP bahkan pernah menerbitkan pencerahan berhubung isu sambutan Tahun Baharu Cina pada awal tahun ini ekoran kontroversi orang Islam menggantung tanglung perayaan tersebut.

Secara umum, ulama dalam kalangan mazhab Syafie turut berpendapat akan jatuh kafir dan terhapus amalan ibadat jika meniru perbuatan bukan Islam ketika meraikan perayaan mereka.

Sehubungan itu, majoriti besar ulama menegah umat Islam menghadiri sambutan masyarakat bukan Islam kerana dibimbangi ada unsur agama yang boleh menjerumuskan kepada syirik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI