fbpx

Jemaah Menteri setuju tambah baik kemudahan pegawai lantikan kontrak KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menambah baik situasi kebajikan pegawai lantikan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara kemudahan ditambah baik termasuk pemanjangan kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal dan pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah.

Beliau berkata, kemudahan itu diberikan kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib.

“Keputusan pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah itu diharap dapat menangani isu ketidaksetaraan pemberian kemudahan antara pegawai lantikan kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah dan/atau khidmat wajib dengan pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib,” katanya.

Selain itu, katanya, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib juga akan dapat menikmati kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal sebagaimana dinikmati oleh pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib.

Khairy Jamaluddin berkata, Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan hari ini adalah satu daripada usaha berterusan KKM dalam menambahbaik dan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif buat seluruh kakitangannya.

“Ia penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan selamat,” katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 bersetuju memanjangkan kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal, kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan dan kemudahan Cuti Tibi, Kusta dan Barah kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI