JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak bersetuju kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa ditandingi calon daripada PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr. Zuhan Zain berkata, pihaknya tidak pernah bersetuju untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada calon lain setelah ia ‘dipinjamkan’ kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada PRN Johor 2022 atas semangat kerjasama politik ketika itu.
Jelasnya, Amanah Johor telah membuat persiapan awal dan menyusun gerak kerja jentera secara menyeluruh untuk mengambil semula dan mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa.
“Amanah Johor mengambil maklum laporan media yang memetik kenyataan berhubung status kerusi tersebut.
“Namun, kami tidak pasti sama ada berlaku salah tafsir, kekeliruan atau penafsiran yang tidak tepat terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, Amanah Johor masih berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).
Justeru, katanya, parti memilih untuk menangani sebarang perbezaan pandangan melalui saluran rundingan dan perbincangan dalaman, bukan melalui polemik terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara parti dalam PH.
“Apa yang lebih penting adalah usaha bersama-sama untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan dan menyantuni rakyat.
“Pada masa ini, seluruh jentera Amanah di Puteri Wangsa terus bergerak aktif di lapangan, mendekati masyarakat serta membawa pelbagai program kemasyarakatan demi memastikan kehadiran dan peranan Amanah terus dirasai oleh rakyat setempat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














