PUTRAJAYA – Hidup dalam keadaan berhutang sememangnya tidak tenteram tetapi bertambah gelisah apabila menjadi buruan pengutip hutang yang gemar menggunakan kata-kata kesat dan berbaur ugutan sehingga menimbulkan ketakutan.
Seorang suri rumah yang ingin dikenali sebagai Laila, 40-an, berkata, kehidupannya sekeluarga menjadi tak tenteram apabila sering diganggu ejen pengutip hutan melalui panggilan telefon yang cuba menakut-nakutkan mereka selain menghemburkan kata-kata kesat.
Katanya, antara contoh jerkahan dan ugutan yang diterima ialah dipaksa membayar RM35,000 dalam tempoh beberapa jam atau rumahnya akan disita.
“Tidak cukup dengan itu, ejen yang dilantik oleh bank akan menghubungi suami, adik dan keluarga di kampung dengan ugutan yang sama jika saya tidak dapat menjelaskan bayaran dalam tempoh masa yang mereka tetapkan.
“Sudahlah tempoh masa singkat, jumlah yang perlu dibayar juga tidak masuk akal dan semakin meningkat bermula daripada RM200 sehingga mencecah RM1,000 sebulan,” luahnya kepada Kosmo!.
Menurut Laila, mimpi ngerinya bermula apabila menggunakan kad kredit pada 2007 sebelum kilang tempatnya bekerja mengalami masalah kewangan mengakibatkan gaji pekerja dibekukan lalu diberhentikan.
Tambahnya, ketika itu dia mempunyai tunggakan kira-kira RM3,000 dengan bank tersebut, namun tidak mampu membuat pembayaran selepas kehilangan kerja.
“Lebih tertekan apabila saya perlu menjaga anak yang sakit dan memerlukan banyak wang untuk menampung kos rawatannya,” katanya.
Ujar Laila, dia kemudian telah dihubungi oleh seorang lelaki berhubung hutang tersebut pada 2019 dan memaklumkan perlu membayar sebanyak RM49,000 setelah ditambah dengan kadar faedah terkumpul dan yuran pemprosesan.
“Saya akur dan minta buat bayaran bulanan sebanyak RM200, namun ia semakin meningkat selain saya perlu membayar RM1,000 untuk rayuan pengurangan bayaran kepada pihak pengutip hutang,” katanya.
Tambahnya, keadaan itu membuatkannya tertekan dan tidak tahu di mana lagi mahu mendapatkan wang sehingga pernah terfikir untuk meminjam daripada ah long.
“Namun, atas nasihat orang terdekat, saya dapatkan khidmat perunding pengurusan hutang dan sekarang ia sedang dalam proses perbincangan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pesara, Ahmad, 50-an, turut mengalami situasi yang sama dan merasakan hidupnya seolah-olah diperhatikan selain trauma untuk menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
Cerita Ahmad, kes itu bermula apabila dia kehilangan telefon bimbit yang menggunakan perkhidmatan pasca bayar kira-kira 15 tahun lalu sebelum dia beralih kepada prabayar.
“Saya tidak selesaikan baki bayaran dengan syarikat telekomunikasi kerana ingatkan ia tidak ada apa-apa. Tambahan pula saya tidak pernah dihubungi oleh sesiapa.
“Bagaimanapun, beberapa bulan lalu, saya telah dihubungi oleh beberapa individu tidak dikenali memaklumkan saya perlu membayar hutang tersebut dengan jumlah yang besar,” katanya.
Menurut Ahmad, dia hairan kerana jumlah yang diminta berbeza-beza setiap kali dihubungi individu berlainan hingga menimbulkan kesangsian.
“Mereka ugut mahu datang rumah selain mengeluarkan kata-kata kesat dan mendesak agar bayar segera,” katanya. -KOSMO! ONLINE














