fbpx
Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama penghantar makanan pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

KKM cari strategi atasi kekurangan bekalan ubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Kementerian Kesihatan (KKM) mencari strategi bagi penyelesaikan jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubatan termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha (KSU) KKM untuk melihat kepada isu gangguan bekalan ubatan itu terutama di klinik swasta dan farmasi pada masa ini.

Katanya, kekurangan ubat-ubatan tersebut melibatkan ubat biasa seperti untuk kanak-kanak, demam, selsema, antibiotik dan sebagainya disebabkan masalah rantaian bekalan.

“Untuk jangka masa sederhana dan panjang pula, saya telah minta KSU KKM supaya gangguan bekalan ubatan ini kalau berlarutan, apa strategi kita.

“Sama ada mencari pasaran baharu termasuk mungkin negara sebelum ini tidak diterokai atau kerjasama rapat dengan industri farmaseutikal tempatan untuk pastikan pasaran tempatan dapat bangunkan rantaian supaya tidak terjejas,” katanya pada sidang akhbar sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kekurangan bekalan ubatan yang dilaporkan pada masa ini hanya melibatkan klinik swasta dan farmasi manakala, bekalan di fasliti KKM termasuk hospital dan klinik kesihatan masih mencukupi.

“Untuk fasiliti KKM, tiada kekurangan ubat-ubatan dan ia masih mencukupi. Kita memastikan supaya stok bekalan di KKM mencukupi, ada sedikit kekurangan di klinik swasta dan farmasi.

“Saya sudah arahkan perkhidmatan farmasi supaya bekerjasama rapat dengan Persatuan Farmasi Malaysia dan pengeluar ubat di Malaysia supaya mencari bekalan alternatif kalau berlaku kekurangan berterusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR