fbpx

Rekod GML terbukti di 15 buah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selain pengeluaran produk, GML komited untuk memberi latihan dan bimbingan bersepadu kepada para pekerjanya. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Gemilang International Limited (GML) yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor memiliki pengalaman luas dalam bidang pengeluaran dan pemasangan bas hampir lebih 30 tahun.

Berdasarkan faktor tersebut, GML diberi tanggungjawab membekalkan bas bagi projek terbaharu Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas elektrik bandar pertama Kuching Metro di Sarawak dan projek perintis bas elektrik untuk pengangkutan awam di Sabah.

Ia turut membekalkan bas aluminium untuk kemudahan Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun yang lalu.

Selain itu, GML turut kukuh di pasaran antarabangsa dan yang terbaharu, Kumpulan telah mendapatkan kontrak pemasangan 140 unit bas sekolah elektrik bagi pasaran Amerika Syarikat (AS) dan 190 unit kit badan bas ke Uzbekistan.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pang Chong Yong berkata, pembukaan semula ekonomi dan sempadan telah memberi kelebihan buat Kumpulan untuk mengukuhkan pasaran eksport selain mengukuhkan pengoperasian tempatan.

“Saat mencabar dalam industri ini telah berakhir. Kami optimis bahawa tahun ini akan dilalui dengan baik.

“Berkat pembukaan semula sempadan di seluruh dunia, tender daripada pasaran sasaran kami termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, Dubai (Emiriyah Arab Bersatu) dan banyak lagi dijangka di­sambung tidak lama lagi,” katanya dalam temu bual secara emel baru-baru ini.

KOSMO!: Apakah potensi industri pemasangan dan pengeluaran bas di Malaysia?
CHONG YONG: Produk GML telah diiktiraf sebagai salah satu syarikat perintis bagi pengelua­ran badan bas aluminium berciri mesra alam untuk pasaran rantau Asia Pasifik yang bereputasi dan berjaya. Teknologi ini pada mulanya telah diimport dari Switzerland.

Tumpuan Kumpulan adalah untuk memenuhi pasaran pengeluaran bas berbadan keluli. Bas GML dibina dengan kualiti dan kredibiliti yang lebih tinggi yang mana ia lebih ringan dan tahan lama bagi memenuhi standard antarabangsa pelanggan kami khususnya di Australia.

Bagaimana persaingan de­ngan syarikat pengilang import yang lain?
GML tidak menerima persai­ngan secara langsung daripada pembina badan bas yang menawarkan penyelesaian badan keluli. Terdapat dua faktor yang membezakan antara syarikat dengan pesaing, iaitu khususnya dalam aspek pengeluaran badan bas yang berkualiti dan tahan lama.

Ia adalah faktor yang kian penting kerana kita telah memasuki era kenderaan elektrik (EV) dengan kemampanan. Melaluinya ia memerlukan pemain dalam industri ini meningkatkan keperluan untuk mencipta pe­ngangkutan yang lebih cekap.

Satu lagi kelebihan kompetitif GML adalah rekod prestasi kami yang telah terbukti. GML telah menjual bas kepada lebih 15 negara di seluruh dunia serta menjalinkan hubu­ngan baik dengan pembekal cesi (chasis) antarabangsa seperti Mercedes, Scania, Volvo, MAN dan CRRC serta berpengalaman dalam ­menyediakan penyelesaian badan aluminium (badan bas aluminium dan superstruktur) untuk para pembekal cesi ini.

Apakah standard ken­deraan bas yang dihasilkan di Malaysia berbanding negara jiran?
Sebagai pembina badan bas, kami biasanya bekerjasama rapat dengan pembekal cesi atau rakan kongsi tempatan untuk mereka bentuk produk yang bersesu­aian dengan pasaran eksport. Oleh itu, kami dapat memberi khidmat nasihat kepada pelanggan semasa dan bakal pelanggan kami berdasarkan pengalaman lalu. Sebagai contoh, kebaikan dan keburukan spesifikasi pilihan mereka yang mungkin sudah dibuktikan di negara-negara lain.

Untuk rantau ASEAN, GML mempunyai pengalaman mengeksport bas bandar dan bas persiaran dalam bentuk model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) ke Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Kami menjadikan Malaysia dan Singapura sebagai pasaran utama kami. Jika dibandingkan bas bandar tempatan dengan bas di negara-negara jiran, bas bandar Prasarana, secara umum­nya, menggunakan jenama Eropah seperti Scania dan Volvo. Ia juga mempunyai standard yang jauh lebih tinggi daripada rakan niaga lain.

Oleh itu, dalam jangka masa panjang, bas dengan gabungan cesi daripada jenama yang baik dan badan aluminium akan mempunyai jangka hayat yang lebih tinggi. Malah, dalam kebanyakan kes, ia berpeluang untuk diberikan hayat kedua.

Apakah trend bas terkini dan apakah keperluan serta permintaan syarikat dan pengguna tempatan?
Kita tidak dapat lari daripada peralihan ke arah penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE). Oleh itu, keperluan untuk ­mengaplikasikan pengangkutan hijau telah meningkat.
Bagi pasaran tempatan, kami melihat ini­­siatif tersebut perlu diterajui kerajaan kerana sektor swasta boleh menjadikannya sebagai rujukan.

Dalam masa setahun, berapa banyak bas dihasilkan di pasaran tempatan dan siapa pelanggan syarikat?
Baru-baru ini, kejayaan kami yang paling luar biasa adalah dalam pasaran domestik apabila berjaya membekalkan 90 unit badan bas dua tingkat Volvo untuk Prasarana.

Kontrak ini diberikan kepada kami sebelum pandemik. Semenjak itu, pasaran tempatan lebih menumpukan kepada penggunaan bas elektrik bandar.

Kami bekerjasama dengan pelbagai kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan uji pandu. Di Sarawak terutamanya, kami te­lah membekalkan unit bas elektrik untuk Kuching Metro sebuah perkhidmatan yang disokong oleh Kementerian Pelancongan Sarawak.

Apakah rancangan terbaharu dan sasaran pertumbuhan pendapatan syarikat?
Kami berkeyakinan bahawa saat mencabar dalam industri ini telah berakhir. Kami optimis bahawa tahun ini akan dilalui dengan baik.

Terkini, GML sudah menerima dua kontrak besar iaitu membekalkan 140 unit bas sekolah elektrik untuk pasaran AS dan 190 unit kit badan bas ke Uzbekistan.

Selain itu, berkat pembukaan semula sempadan di seluruh dunia, tender daripada pasaran tempatan serta pasaran antarabangsa seperti Singapura, Hong Kong, Dubai dan banyak lagi dijangka disambung tidak lama lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI