fbpx

Nama suam-suam kuku, Daniesh Suffian tak mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIESH SUFFIAN

PERCAYA dan yakin pada rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya menjadi penguat semangat buat penyanyi, Daniesh Suffian.

Sedar namanya agak tenggelam atau dalam erti kata lain ‘suam-suam kuku’ sebagai salah seorang penyanyi lelaki tempatan, Daniesh masih bersikap positif, walaupun sesekali mengakui ‘goyah’ memikirkan nasibnya dalam industri muzik tanah air.

Ujar pemilik nama lengkap Nur Mohd. Daniesh Mohd. Suffian itu, walaupun sudah melancarkan beberapa buah single antaranya Hingga Kau Terlupa, Terabadi, Pilihlah Aku, Simpan, Mahligai dan Serpihan, tiada satu pun nyanyiannya berjaya melekat di hati peminat sehingga menjadi siulan pendengar, jauh sekali dipilih diputarkan di corong-corong radio.

Bunyinya mungkin agak kejam, namun realiti tersebut diakui Daniesh sehingga menimbulkan persoalan dan tanda tanya tentang perjalanan seninya sebagai penyanyi.

“Saya akui dan sedar lagu-lagu saya kurang menonjol. Sedangkan dah banyak saya keluarkan lagu, namun sambutan tidak berapa memuaskan.

“Sekarang saya bersama pihak pengurusan, World Peace Entertainment dalam rangka strategi dan bereksperimentasi untuk lagu seterusnya.

“Saya percaya pada rezeki. Sekarang mungkin rezeki belum berpihak kepada saya,” katanya.

DANIESH SUFFIAN mengakui agak tertekan dengan karier nyanyiannya yang belum menampakkan harapan.

Disoal tentang punca lagu-lagu nyanyiannya gagal menawan selera pendengar, penyanyi berusia 23 tahun itu berpendapat, mungkin setakat ini orang ramai masih belum nampak bakat yang dimilikinya.

“Mungkin buat masa ini orang masih belum nampak lagi bakat saya dalam industri. Itu menjadi salah satu sebab lagu-lagu saya tidak begitu menjadi.

“Selain itu rangka promosi yang lemah juga boleh dikatakan menjadi antara punca saya kurang menonjol sebaris dengan penyanyi-penyanyi lain sedia ada,” katanya.

Menjadikan Shiha Zikir dan Ernie Zakri sebagai contoh terbaik, Daniesh melihat perjalanan karier seni kedua-dua penyanyi itu tidak kurang sama seperti dirinya ketika awal pembabitan mereka dalam industri.

Ujar penyanyi asal Sabah itu, kemenangan besar Shiha dalam Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) baru-baru ini selepas 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni menjadi pembakar semangat untuk dirinya supaya tidak berputus asa.

“Seperti Shiha dan juga Ernie, kedua-duanya menempah populariti dan kejayaan dalam bidang seni bukan setahun dua. Memakan masa bertahun-tahun sebelum nama mereka kukuh dalam industri.

“Semangat dan usaha mereka berdua menjadi pembakar semangat dan inspirasi untuk saya terus kekal dalam industri. Mungkin rezeki saya bukan sekarang tetapi esok atau lusa, siapa tahu?

“Tipu kalau saya tidak tertekan memikirkan soal karier sebagai penyanyi. Tetapi disebabkan minat mendalam, saya memotivasikan diri untuk terus berusaha keras mengejar cita-cita,” katanya.

Untuk perancangan akan datang, Daniesh akan mengeluarkan sebuah single baharu dalam tahun ini juga dan mengharapkan magis agar diterima baik peminat.

“Doakan kejayaan saya,” ucapnya dalam nada penuh pengharapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI