fbpx

Padah curi sportrim kereta, 3 suspek diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan kejadian kecurian di belakang bengkel di Jalan Merdeka 3 Industri Park, Ampang baru-baru ini.

AMPANG – Tindakan tiga individu termasuk seorang wanita disyaki bersekongkol mencuri rim aloi (sport rim) kereta mengundang padah apabila kesemua diberkas di dua lokasi berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada 17 Mei lalu sekitar pukul 7 malam pengadu berusia 43 tahun yang bekerja di bengkel kereta meletak kereta milik pelanggan jenis Honda Accord di belakang bengkel di Jalan Merdeka 3 Industri Park, dalam keadaan baik.

“Pada 24 Mei lebih kurang pukul 9 pagi semasa hendak buka bengkel, pengadu dapati keempat tayar serta rim aloi kereta berkenaan telah tiada,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pada 3 Jun lebih kurang pukul 5 petang, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah menangkap tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 33 tahun.

“Seorang lelaki tempatan diberkas di Taman Muda, di sini manakala dua lagi suspek di Batu 3 Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

“Pihak polis telah merampas tiga buah telefon bimbit dan dua kereta jenis Proton Wira Aeroback serta Proton wira yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.

“Turut dirampas satu tayar bersama rim aloi yang dipercayai barang kes yang hilang,” ujarnya.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah lampau manakala suspek kedua dan ketiga masing-masing mempunyai sembilan rekod berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 7 Jun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI