fbpx

Harimau Malaya harus fokus bermain secara berpasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRUL (kiri) mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya fokus dan menerapkan corak permainan berpasukan menjelang aksi pertama Kumpulan E menentang Turkmenistan pada Rabu depan. – FAM

Harimau Malaya harus bertahan, serang bersama-sama demi mencapai kejayaan

MAMPU kekal tanpa bolos dalam dua aksi persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong sebelum ini bakal menjadi bekalan buat Harimau Malaya untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu depan.

Disebalik penekanan pengendali negara, Kim Pan-gon yang menerapkan permainan berpa­sukan, keputusan daripada dua aksi pemanas badan tersebut hadir tepat pada masanya untuk menyuntik motivasi pemain sebelum mengharungi aksi pertama Kumpulan E menentang Turkmenistan, bermula Rabu depan.

Pertahanan negara, Shahrul Saad berkata, segala peranca­ngan yang dibuat dalam dua perlawanan persahabatan sudah membuahkan hasil, namun pemain tidak boleh mudah berpuas hati kerana cabaran lebih getir menanti pada kempen kelayakan nanti.

“Apa yang kami lakukan itu nyata membuahkan hasil, terutamanya dalam dua perlawanan persahabatan ini. Sebagai pemain pertahanan, sudah pasti saya tidak mahu biarkan gawang negara dibolosi.

“Kita sudah mendapatkan keputusan yang bagus dan saya harap ia dapat dikekalkan dalam saingan sebenar nanti. Apa pun, aksi persahabatan dan perlawanan sebenar adalah berbeza. Jadi, saya harap dengan masa yang ada, kami mampu perbaiki lagi untuk tampil lebih baik,” katanya.

Sepanjang dua aksi persahabatan sebelum ini, Pan-gon mula menyerlahkan magis yang ada pada dirinya apabila memastikan kemenangan 4-0 ke atas Brunei dan turut menundukkan bekas pasukannya, Hong Kong 2-0.

Walaupun Harimau Malaya sedang berada dalam momentum terbaik, Shahrul atau lebih dikenali sebagai Badak dalam kalangan pemain mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya kekal fokus dan menerapkan corak permainan berpasukan.

“Bertahan bukan tanggungjawab pemain pertahanan sahaja, tetapi kita kena bermain secara berpasukan. Kita perlu bertahan sama-sama, serang pun sama-sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI