fbpx
Tengku Zafrul

Ringgit dijangka stabil dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Penyusutan nilai ringgit ketika ini adalah bersifat sementara ekoran beberapa faktor luaran sebelum mata wang tempatan itu dijangka kembali stabil dalam masa terdekat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau yakin pertumbuhan ekonomi negara yang teguh akan membantu kepada kestabilan ringgit.

“Asas ekonomi kukuh dan pengurusan ringgit yang berhemah mampu menyumbang kepada nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan kemerosotan ringgit kali ini disebabkan tiga faktor utama termasuk unjuran situasi dasar monetari dunia dan kecairan tunai global.

Senario ketat itu ujarnya, mengakibatkan komuniti pelabur sejagat memperuntukkan semula pelaburan aset yang menjana hasil lebih tinggi di AS dan mencetuskan kejatuhan nilai wang.

“Faktor kedua pula ekoran prospek pertumbuhan China dijangka lemah tahun ini akibat isu penularan Covid-19 di bandar-bandar besarnya yang melemahkan mata wang yuan,” katanya.

Sementara faktor ketiga pula adalah susulan ketegangan geopolitik dunia yang memberi tekanan kepada ekonomi banyak negara dengan dicerminkan menerusi indeks ketakutan atau nilai VIX.

Keadaan itu kata beliau, mengakibatkan pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas yang mengakibatkan tekanan menurun terhadap kadar pelbagai mata wang antarabangsa.

Bagaimanapun tambahnya, ringgit dijangka stabil dan mengukuh kerana diuruskan secara aktif oleh Bank Negara (BNM) yang memastikan ia terkawal dan tidak keterlaluan.

“Langkah tersebut agar sektor ekonomi akan dapat membuat perancangan pelaburan dan perbelanjaan dengan berdasarkan kepada keadaan nilai ringgit yang lebih stabil,” katanya.

Tengku Zafrul turut memberi jaminan bahawa asas ekonomi Malaysia adalah kukuh seperti prospek pertumbuhan yang kekal teguh dengan KDNK suku pertama 2022 ialah 5.0 peratus.

Ini ujarnya juga, dicerminkan menerusi analisis terkini IMF yang mengunjurkan perkembangan KDNK Malaysia pada sepanjang tahun ini ialah 5.75 peratus dipacu permintaan kukuh.

Kementerian Kewangan dan BNM tegasnya, akan terus memantau rapi pelbagai risiko serta memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia terpelihara. – KOSMO! ONLINE

POPULAR