fbpx
penyakit cacar monyet disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses.

‘Serangan wabak cacar monyet kali ini luar biasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGESANAN beberapa kes cacar monyet di Amerika Utara dan Eropah sejak awal Mei lalu, mencetuskan kebimbangan bahawa penyakit yang asalnya diisytiharkan sebagai endemik di benua Afrika kini sedang merebak ke benua-benua lain.

Sehingga awal minggu ini, lebih daripada 80 kes cacar monyet disahkan berlaku di 12 negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) segera memperingatkan bahawa kemungkinan masih banyak kes berlaku yang masih
belum dilaporkan. Dalam satu kenyataan, WHO menjelaskan, wabak kali ini merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan kerana berlaku di negara-negara bukan endemik dan ‘hubungan’ antara mereka yang dijangkiti dengan wilayah Afrika Tengah dan Afrika Barat juga tidak jelas.

WHO tidak menjelaskan negara mana yang berhadapan dengan masalah itu. Namun sebelum ini, penularan wabak itu disahkan berlaku di Itali, Sweden, Sepanyol, Portugal, Amerika Syarikat, Kanada dan Britain.

“Apabila kita memasuki musim panas, kita akan mengadakan perhimpunan besar-besaran serta menyambut perayaan dan festival.

“Saya bimbang penularan ini boleh merebak dengan cepat,” ujar Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge.

PARTIKEL penyakit cacar monyet.

Sementara itu, Pengarah Institut Sains Pandemik Universiti Oxford, Prof. Sir Peter Horby berkata, serangan cacar monyet kali ini sangat berlainan.

“Kita kini berada dalam situasi yang amat baharu, ia suatu yang mengejutkan dan mendatangkan kebimbangan.

“Walaupun ini bukan Covid kedua, kita perlu bertindak untuk mengelakkan virus ini bertapak.

“Ini adalah sesuatu yang benar-benar ingin kita elakkan,” jelasnya kepada BBC.

Dalam pada itu, seorang doktor Ireland, Dr. Hugh Alder yang berpengalaman merawat pesakit cacar monyet juga bersetuju dan menyifatkan, ia bukan satu corak yang kita lihat sebelum ini dan itu amat mengejutkan.

“Terdapat dua kemungkinan, sama ada virus ini telah berubah atau virus lama yang sama menemui ‘dirinya’ di tempat yang betul dan pada masa sesuai untuk berkembang,” terangnya.

Cacar monyet adalah virus DNA, jadi ia tidak bermutasi secepat Covid-19 atau selesema.

Analisis genetik yang dilakukan mendapati, kes semasa yang berlaku sangat berkait rapat dengan bentuk virus yang dilihat pada tahun 2018 dan 2019.
Masih terlalu awal untuk memastikannya, tetapi buat masa ini, tiada bukti bahawa varian baharu virus ini sedang merebak.

Mereka yang dijangkiti dengan masalah itu biasanya pulih dalam tempoh beberapa minggu dan kes yang membawa kepada berlakunya kematian jarang berlaku.

Terdapat ribuan manusia dijangkiti cacar monyet di wilayah Afrika Tengah dan Afrika Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi jarang berlaku di Eropah dan Amerika Utara.

HORBY

Cacar monyet disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses dan virus ini menular kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Virus ini juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada cacar atau ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur dan pakaian.

Tanda-tanda jangkitan mirip cacar (smallpox) iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka, kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh lain.

Pesakit juga mungkin mengalami lenguh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Kanak-kanak, wanita mengandung dan individu yang mempunyai tahap immuniti rendah mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian.

Di Afrika, cacar monyet telah ditemui pada banyak haiwan termasuk termasuk beberapa spesies tupai dan monyet.

Sementara itu, WHO berkata, penularan dari manusia ke manusia adalah terbatas.

Cacar monyet pada mulanya ditemui pada tahun 1958 dalam kalangan kelompok monyet.

Cacar monyet yang berlaku pada manusia pertama kali dikenal pasti pada tahun 1970 di Zaire yang kini dikenali sebagai Republik Demokratik Congo.

Ia berlaku pada seorang budak lelaki berusia sembilan tahun di wilayah yang mana cacar telah dihapuskan dua tahun sebelumnya.

Sejak 1970, kes manusia yang dijangkiti cacar monyet telah dilaporkan berlaku di 11 negara Afrika antaranya Benin, Cameroon, Gabon, Liberia dan Sierra Leone.

Pada musim bunga tahun 2003, kes tersebut juga disahkan berlaku di Amerika Syarikat buat kali pertama berlaku di luar Afrika.

Penularan haiwan kepada manusia boleh berlaku kerana sentuhan langsung dengan darah, cecair badan atau sentuhan kulit haiwan yang dijangkiti.

Penularan sekunder atau manusia kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan rapat dengan rembesan pernafasan, luka kulit orang yang dijangkiti atau objek yang baru tercemar.

Penularan melalui zarah pernafasan titisan biasanya memerlukan hubungan bersemuka yang berpanjangan.

KEBERSIHAN tempat tinggal dan diri perlu sentiasa diutamakan sebagai langkah pencegahan untuk menghindari daripada dijangkiti penyakit cacar monyet.

Ini meletakkan mereka yang dekat dengan orang dijangkiti berisiko tinggi.

Minggu lalu, WHO juga memberi isyarat bahawa beberapa kes yang disahkan baru-baru ini di Britain muncul dalam kalangan lelaki gay.

Bagaimanapun, pakar telah memberi amaran terlalu awal untuk mengesahkan penyakit itu dikaitkan dengan golongan tersebut.

“Walaupun kelompok kes semasa adalah pada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, mungkin terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang cara virus ini merebak melalui aktiviti seksual.

“Kami memerlukan data dan analisis epidemiologi yang jelas,” kata pakar virologi dari Kolej Imperial London, Michael Skinner.

Mengapa golongan lelaki gay atau biseksual yang terkesan serta adakah ia berkait dengan tingkah laku seksual yang memudahkan ia tersebar? Segalanya belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, cacar monyet merupakan penyakit yang cenderung hilang dengan sendirinya, tanpa rawatan dan gejalanya berlarutan antara dua hingga empat minggu.

Ia juga secara asasnya dikatakan kurang serius dan kurang berjangkit berbanding smallpox.

Kes yang teruk berlaku lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak dan berkaitan dengan tahap pendedahan virus, status kesihatan pesakit dan sifat komplikasi.

Nisbah kes kematian juga berbeza-beza, tetapi kekal antara kosong hingga 10 peratus dalam semua jangkitan berdaftar.

“Dianggarkan wilayah Afrika Barat mempunyai kadar kematian kira-kira satu peratus.

“Terdapat juga kes yang membawa maut di Congo,” kata pakar mikrobiologi di Universiti Reading, England, Simon Clarke.

Sementara itu, tiada rawatan khusus untuk masalah ini, tetapi vaksinasi untuk cacar didapati berkesan sebanyak 85 peratus bagi mencegah penyakit cacar monyet.

Bagaimanapun, akses kepada vaksin cacar kini terhad kerana penyakit itu telah dihapuskan secara global.

“Berita baiknya, vaksin cacar berfungsi dengan baik terhadap cacar monyet.

“Namun, berita buruknya pula, kebanyakan orang di bawah umur 45 tahun tidak mendapatkan vaksin cacar,” kata ahli epidemiologi dan pakar ekonomi kesihatan, Eric Feigh-Ding.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN