fbpx

Pengasuh didakwa cakar, pukul bayi 11 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiriingi anggota selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera bayi perempuan berusia 11 bulan dengan mencakar pipi dan memukul mangsa di taska milik keluarganya, minggu lalu.

Tertuduh, Nabilah Md. Johan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu cikgu atau pengasuh telah menganiayai seorang bayi berusia 11 bulan dengan cara mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa menggunakan tangan.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di antara pukul 5.30 petang hingga 5.45 petang di sebuah taska di Taman Seri Telok Emas dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan mengambil kira pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh membabitkan kesalahan serius.

Peguam Ab. Kadir Ismail yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan menyifatkan ia tidak munasabah, selain jaminan akan dilakukan oleh ibu tertuduh yang juga pemilik taska berkenaan.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 23 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI