fbpx

Palsu surat kontrak kerja UMS, Peter dijel 3 tahun, denda RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dipenjara tiga tahun dan denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tujuh tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu selepas mendapati Peter, 51, bersalah atas pertuduhan tersebut selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 15 bulan.

Bagaimanapun Hakim Azura hanya membenarkan penangguhan bagi hukuman penjara sementara rayuan, namun bagi hukuman denda RM50,000 itu tertuduh perlu menjelaskannya pada hari ini.

Dalam alasan penghakiman ringkasnya, Hakim Azura berkata tiada asas untuk meragui keterangan saksi-saksi pendakwaan dan tiada bukti bahawa pertuduhan terhadap tertuduh adalah berasaskan politik seperti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu saksi pendakwaan (SP) ketiga, kelapan dan kesembilan dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai ‘smart partnership’ antara pihak universiti (Ulink Property Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat UMS) dan syarikat milik Peter, Asli Jati,” kata hakim itu.

Untuk rekod saksi pendakwaan ketiga ialah rakan kepada Peter, Mohd. Shukur Mohd. Din, saksi pendakwaan kelapan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang manakala saksi pendakwaan kesembilan ialah bekas Pengerusi Ulink Property Sdn. Bhd. Datuk Abdullah Mohd. Said.

Tambah Hakim Azura lagi, walaupun tiada bukti langsung yang menunjukkan tertuduh telah memalsukan dokumen, terdapat keterangan mengikut keadaan dan keterangan menunjukkan bahawa hanya tertuduh sahaja yang mempunyai peluang untuk memalsukan dan keterangan sepanjang perbicaraan menunjukkan tertuduh memalsukan dokumen itu.

Sejurus selepas selesai alasan penghakiman dibacakan, peguam S. Devanandan yang mewakili Peter dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman seringan-ringannya terhadap tertuduh.

“Tertuduh telah memberi kerjasama sehingga akhir perbicaraan selain hadir di mahkamah tanpa gagal kecuali kehadiran beliau di kecualikan. Dalam kes ini Syarikat Asli Jati telah membantu ratusan pelajar UMS malah tertuduh juga telah banyak membantu pelajar-pelajar miskin di UMS,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah dalam hujahan pemberatan hukuman berhujah kes ini telah mengambil masa yang panjang yang mana seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

“Dalam kes ini reputasi UMS telah terjejas selain tertuduh telah merancang penipuan secara teliti sehingga berjumpa dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu).” kata pihak pendakwaan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI