fbpx

Bekas suami Ziana Zain terlepas penjara, didenda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armin Zaharin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. - ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Bekas suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri terlepas hukuman penjara selepas didenda RM8,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Hasbullah Adam menetapkan demikian selepas membenarkan rayuan Armin Zaharin, 57, mengetepikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhi Mahkamah Majistret pada 28 September 2020.

Sekiranya gagal membayar denda, bekas pramugara itu diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan.

Pada prosiding keputusan rayuan itu, mahkamah menolak untuk mengetepikan sabitan terhadap Armin Zaharin mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM8,000 dikembalikan kepada Armin Zaharin sebagai perayu.

Hasbullah dalam penghakimannya berharap hukuman itu menjadi pengajaran dan menasihatkan Armin Zaharin supaya lebih mengawal diri pada masa hadapan.

“Hubungan anak dengan bapa tidak akan putus. Anak tetap anak. Sampai mati pun tetap anak, jangan putus hubungan,” tegurnya.

Berita berkaitan: Bekas suami Ziana Zain merayu ketepi hukuman penjara 8 bulan

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhi hukuman penjara lapan bulan terhadap Armin Zaharin selepas didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam di tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Denai Alam di sini pada oukul 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari 2018.

Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk mangsa manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu Armin Zaharin.

Sepanjang prosiding rayuan bermula Januari tahun lalu, peguam Amir Farid Mohd. Nawawi dan Danish Manoharan mengemukakan asas rayuan mengenai kewajaran hukuman penjara lapan bulan tersebut.

“Sekiranya betul anak guam saya bersalah, lapan bulan penjara itu tidak munasabah bagi seorang bapa yang merotan ketika mengajar anaknya mengaji,” jelasnya.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar menegaskan hukuman itu mengambil kira atas beberapa faktor antaranya jenis kecederaan yang telah terakibat daripada penderaan itu dan kesannya ke atas fizikal, mental dan emosi mangsa.

“Selain itu, tempoh tertuduh melakukan dan kekerapan penderaan ke atas mangsa,”jelasnya.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin dan Armin Zaharin bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI