SHAH ALAM – Keinginan untuk meraih keuntungan segera menerusi perniagaan memaksa seorang kakitangan awam membuat pinjaman peribadi daripada sebuah bank sehingga akhirnya dia diisytiharkan bankrap.
Ali, 40, berkata, tindakannya itu bukan hanya menjejaskan masa depannya sebagai penjawat awam, malah turut memberi tekanan hidup kepadanya untuk melunaskan pinjaman bernilai RM50,000.
Katanya, semuanya bermula apabila dia ditawarkan untuk terlibat dalam perniagaan produk jualan langsung yang memerlukannya mengeluarkan modal yang cukup besar.
“Saya sanggup berhenti kerja sebagai penjawat awam dan menjadi tamak kerana mahu menjana keuntungan berganda sehingga membuat pinjaman peribadi.
“Bagaimanapun, stok jualan langsung gagal dipasarkan selain rosak. Saya hilang punca sehingga gagal membayar balik hutang dan menerima Notis Kebankrapan dalam masa enam bulan,” katanya ketika ditemui di Seksyen 24 di sini semalam.
Jelasnya, bergelar sebagai orang bankrap membuatkan dirinya tertekan seperti seseorang yang terkurung di ruang yang sempit.
Sementara itu, usahawan dari Banting dikenali sebagai Amir, 52, memberitahu, dirinya diisytiharkan bankrap apabila perniagaannya dalam bidang kontraktor pendawaian merudum sehingga dia hilang punca pendapatan.
“Banyak projek tidak dapat diselenggara dengan baik akibat kekurangan pekerja sehingga ramai hilang keyakinan kepada syarikat saya.
“Bila tidak bayar balik pinjaman, saya diisytiharkan bankrap oleh pihak bank kira-kira 10 tahun lalu,” jelasnya.















