fbpx

Keputusan Kabinet tidak bermakna tanpa penguatkuasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk mengharamkan eksport ayam mulai bulan Jun 2022 sehingga bekalan ayam untuk pasaran tempatan kembali pulih.

Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin berkata, pengharaman eksport ini akan membolehkan kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dipulihkan berikutan setiap bulan sekitar 3.6 juta ekor ayam dieksport ke luar negara.

“Sudah tentu kerajaan akan dikritik oleh pengeksport ayam yang mengaut keuntungan lebih baik di pasaran luar negara berbanding pasaran tempatan namun kerajaan tiada pilihan dan harus mengutamakan kepentingan rakyat.

“Sejak awal tahun ini, kerajaan berusaha mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan kepentingan peniaga dan penternak ayam. Menyedari inflasi yang melambung-lambung, kerajaan telah meletakkan harga siling sekilo ayam pada aras RM8.90,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan telah mengimbangi kos di pihak penternak dengan memberi subsidi 60 sen bagi setiap kilo ayam hidup yang dijual bagi pasaran tempatan.

“Malangnya, sesetengah pihak melihat menjual ayam kepada pasaran luar negara lebih menguntungkan dan memilih untuk mengeksport sehingga menyebabkan pasaran tempatan kekurangan bekalan ayam.

“Walaupun penternak dan peniaga ayam berhak mendapat keuntungan lebih, namun dengan situasi sekarang mereka perlu meletakkan kepentingan rakyat dan negara ini terlebih dahulu,” jelasnya.

Katanya, kebimbangan Pemuda UMNO bahagian Titiwangsa ialah keputusan Kabinet ini akan gagal menyelesaikan bekalan ayam sekiranya pemantauan dan penguatkuasaan di bahagian sempadan tidak diperketatkan.

“Dengan pengharaman eksport ayam ini tidak mustahil kartel-kartel ayam akan mencari ‘jalan belakang’ untuk menjualnya ke luar negara. Ini sekaligus akan menyebabkan keputusan Kabinet tidak memberi kesan yang mendalam kepada pasaran tempatan.

“Kita sering mendengar kisah minyak masak diseludup ke negara jiran dan beras di seludup ke negara ini. Tidak mustahil selepas ini kisah seludup ayam pula akan berkumandang,” ujarnya.

Justeru, pihak penguat kuasa di peringkat kementerian, sempadan dan pelabuhan harus bekerja keras memastikan keputusan kabinet ini dikuat kuasa dengan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI