fbpx
Luqman antara pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti sebentar tadi

Skuad B-23 pulang dengan tangan kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI – Harapan untuk melihat skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa pada temasya Sukan SEA Vietnam gagal direalisasikan selepas tewas 4-3 kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium My Dinh, sebentar tadi

Kegagalan tersebut menyaksikan skuad negara mengulangi kekecewaan pada edisi ke-30 di Manila 2019 selepas pulang awal apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, penyertaan kali ini menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney menunjukkan peningkatan tetapi tetap pulang tanpa pingat.

Kegagalan Hadi Fayyad Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsudin menyempurnakan sepakan penalti menyaksikan pingat gangsa menjadi milik Indonesia.

Pada aksi tersebut, Malaysia terlebih dahulu mencemaskan pertahankan Indonesia seawal minit kedua menerusi percubaan pertahanan kiri, Safwan Mazlan namun tidak tepat ke sasaran.

Tersentak dengan percubaan itu, skuad kendalian Shin Tae Yong, membalas dengan tiga percubaan berbahaya antara minit ketiga hingga enam, memaksa penjaga gol negara, Rahadiazli Rahalim bekerja keras untuk beberapa kali merebah badan menyelamat percubaan penyerang lawan, Ronaldo Joybera dan Irfan Jauhari.

Namun, pada minit ke-13 giliran pertahanan kanan negara, Quentin Cheng menguji penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi menerusi percubaan daripada luar kotak penalti tetapi bola tepat ke dakapannya.

Biarpun kedua-dua pasukan saling membalas serangan namun jentera serangan masing-masing gagal untuk menemui sasaran sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, pengendali negara, Brad Maloney membuat tiga pertukaran pemain dengan memasukan Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyad Abdul Razak dan Hairiey Hakim Mamat.

Kemasukan mereka nyata meningkat tempo serangan negara apabila peluang demi peluang dicipta dan percubaan terbaik hadir menerusi rembatan kencang pemain tengah, Syahir Bashah pada minit ke-65 namun bola sekadar menggegar palang gol Indonesia.

Begitupun, anak didik Shin Tae Yong terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gerakan satu, dua daripada tengah antara Marselino Ferdinan dan Saddil Ramdani sebelum disudahi rembatan kencang Ronaldo pada minit ke-68.

Bagaimanapun, Hadi Fayyad kembali menceriakan kem negara apabila menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-81 untuk membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas tempoh masa 90 minit berakhir dengan kedudukan terikat 1-1 .

Kali terakhir Malaysia meraih gangsa adalah pada temasya dwitahunan itu pada 2005 di Manila selepas turut membawa warna pingat sama di Hanoi 2003. – KOSMO! ONLINE.

 

POPULAR