KUNJUNGAN ke Kebun Hidroponik Abi Agro di Lorong Abi 3, Abi Kampung Tengah, Abi di Kangar, Perlis sangat mengujakan apabila anda dapat melihat pelbagai jenis sayur hijau yang subur bersusun di sepanjang palung tanaman di situ.
Lebih menarik apabila anda juga berpeluang membeli dengan memetik sendiri sayur sebelum ditimbang oleh kakitangan di kebun hidroponik tersebut.
Antara jenis sayur yang banyak ditanam di kawasan kebun seluas 0.2 hektar itu ialah sawi, pak choy dan salad.
Selain dibuka kepada orang ramai untuk membeli sayur segar, kebun berkenaan juga menjadi lokasi tumpuan orang ramai yang mahu belajar tentang teknik penanaman sayur atau tanaman lain secara hidroponik.
Pendedahan diberikan kepada semua lapisan umur termasuk pelajar yang membuat lawatan ke kebun tersebut.
Pemilik Kebun Hidroponik Abi Agro, Mohd. Ashraf Shuib, 41, yang merupakan penduduk tempatan berkata, pada peringkat awal, dia banyak melakukan kajian sendiri tentang teknik penanaman buah dan sayur secara hidroponik.
“Saya sudah mempunyai asas tentang tanaman dan membuat kajian secara mendalam mengenai hidroponik termasuk di internet, selain belajar dengan Jabatan Pertanian Perlis.
“Selain itu, saya juga melihat dan belajar tentang sistem hidroponik yang digunakan di Cameron Highlands, Pahang seterusnya mengusahakan sendiri menggunakan sistem yang disesuaikan dengan tempat kita (Perlis),” katanya di kebun hidroponiknya baru-baru ini.

Mohd. Ashraf yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Manusia, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) berkata, kebun itu bermula dengan tanaman rock melon menggunakan kaedah fertigasi.
Katanya, fertigasi adalah merupakan salah satu teknik hidroponik iaitu pengairan titis pada 2007.
“Maksud fertigasi adalah gabungan pemberian baja dan air secara serentak sama ada dilakukan secara dalam polibeg atas tanah atau fertigasi tergantung,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurutnya, dia kemudian memulakan tanaman sayur-sayuran dengan kaedah hidroponik secara lebih besar pada penghujung 2019 sebelum dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 13 Ogos 2020.
“Saya mula dengan tanaman sawi kerana ia merupakan antara jenis sayur yang mudah dijual. Banyak jenis masakan guna sayur itu. Nak masak nasi goreng pun kita guna sawi.
“Tidak lama selepas itu, saya tambah jenis sayur lain, antaranya pak choy dan salad,” ujarnya.
Katanya, tempoh tuaian bagi sawi dan pak choy adalah 35 hari, manakala salad hanya 40 hari.
“Setiap kali musim tuaian, kita biasanya mendapat hasil lebih 20 kilogram (kg) dan kita jual pada harga RM6 sekilogram.
“Pelanggan kita biasanya penduduk di sekitar negeri ini yang mencari sayur organik yang lebih bersih kerana ditanam tanpa
menggunakan tanah, selain bebas racun kimia,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, dia juga akan mendapat hasil lebih 250 kg rock melon pada musim tuaian dan dijual pada harga RM8 sekilogram.
Dalam pada itu, katanya, dia juga menyediakan kelas kepada orang ramai yang mahu belajar tentang kaedah penanaman hidroponik.
“Kaedah ini mudah dan tidak memerlukan banyak kos. Semua orang boleh menggunakan teknik hidroponik untuk bercucuk tanam dengan mudah serta bersih kerana ia tidak menggunakan tanah.
“Walaupun mudah, ia memerlukan ilmu yang cukup kerana terdapat faktor menyebabkannya gagal, antaranya tidak cukup jumlah jam cahaya, pemberian baja tidak tepat dan teknik menyemai biji benih kurang sempurna,” katanya.
Ujarnya, tanaman secara hidroponik boleh diusahakan secara hobi di halaman rumah.
“Ada juga pekebun hidroponik yang menanam pokok di atas bumbung rumah kerana teknik tersebut tidak memerlukan kawasan luas, sebaliknya hanya memerlukan cahaya matahari yang mencukupi.
“Selain tanaman sayur, pokok bunga juga boleh ditanam secara hidroponik, malah tanaman sayur dan pokok bunga boleh disusun untuk menjadi landskap menarik di halaman rumah,” katanya.
Di samping itu, ujarnya, kelebihan teknik itu ialah pengurusan tanaman yang mudah tanpa perlu disiram.

PEKERJA Kebun Hidroponik Abi Agro menimbang sayur yang dipetik sendiri oleh pengunjung.
“Bagi mereka yang bekerja, tanaman hidroponik boleh diuruskan pada cuti hujung minggu untuk memeriksa kandungan air baja dan juga serangan serangga perosak.
“Menguruskan tanaman di laman juga boleh menjadi terapi kepada mereka setelah seharian bekerja,” ujarnya.
Menurut Mohd. Ashraf, bekas hidroponik boleh dibuat sendiri di rumah menggunakan bahan kitar semula seperti botol minuman, tong cat, baldi dan bekas aiskrim.
“Selain itu terdapat juga set hidroponik bersaiz kecil yang dijual di pasaran seperti nutripot,” katanya.
Katanya, selain boleh dilakukan sebagai hobi, tanaman hidroponik juga boleh diusahakan secara komersial.
“Di Malaysia, teknik hidroponik banyak digunakan oleh para pengusaha komersial di Cameron Highlands.
“Kebanyakannya terdiri daripada tanaman berharga tinggi seperti salad, kailan, cili, rock melon dan tomato kerana kos untuk membina sistem hidroponik agak tinggi,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, tanaman secara hidroponik dapat mengurangkan kos pekerja dan penyelenggaraan kebun, berbanding tanaman secara konvensional di atas tanah.

PENGUNJUNG berpeluang memilih dan memetik sendiri sayur organik yang ditanam secara hidroponik.
Ujarnya, mereka yang berminat boleh mendapatkan barangan hidroponik, baja, benih pokok, kawalan serangga organik di Kedai Abi Agro di Kilometer 2, Jalan Kaki Bukit, Kangar.
Tambahnya, dia juga menulis buku Teknik Hidroponik: Panduan Memulakan Tanaman Tanpa Tanah yang dilancarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bersempena Program Jelajah Agropreneur Muda Perlis 2021.













