fbpx
NURUL ceria mengibarkan Jalur Gemilang sambil mengucup pistol selepas memenangi emas acara 10 meter (m) air pistol wanita pada Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi semalam.

Bidikan emas sensasi bintang menembak negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI – Meskipun membuat penampilan pertama pada Sukan SEA Vietnam 2021, namun ia tidak memberi masalah kepada penembak muda negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin untuk melakukan kejutan meraih emas dalam acara 10 meter (m) air pistol wanita semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu mempamerkan persembahan cukup baik apabila berjaya membidik emas dengan 239.3 mata di Pusat Latihan Sukan Nasional Hanoi, sekali gus membutirkan emas ke-35 buat Malaysia.

Lebih manis, Syasya berjaya menumpaskan penembak Olimpik dari Thailand, Tanyaporn Prucksakorn selepas atlet 31 tahun itu hanya melakukan 238.7 mata.

Tempat ketiga menjadi milik penembak Vietnam, Trinh Thu Vinh yang meraih gangsa dengan 214.1 mata.

“Alhamdulillah syukur saya dapat membawa pulang emas untuk Malaysia. Ini Sukan SEA pertama saya dan dapat kejayaan ini.

“Saya sedikit emosi sebab ini kali pertama saya turun pada temasya sukan dwitahunan ini dan tidak meletakkan sebarang harapan untuk raih emas. Saya tahu bukan mudah untuk mengatasi penembak terbaik di sini.

“Saya menangis ini pun sebab saya berjaya buktikan kepada semua dan jurulatih yang saya mampu melakukannya,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Syasya turut menegaskan dia mahu menghadiahkan kejayaan tersebut kepada jurulatihnya, Faiz yang memberi dorongan untuk muncul juara.

“Terima kasih kepada jurulatih saya, Faiz yang bantu saya sejak awal sampai dapat pegang pingat emas pada Sukan SEA ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan semua terlibat terutama jurulatih dan keluarga yang turut menjadi tulang belakang kepada kemenangan saya di sini,” tambahnya.

POPULAR