fbpx

Juruteknik jual iPhone murah sebab pokai beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG penasihat jualan, Aida Farhanah Mohd. Jafri menunjukkan dua model telefon pintar iPhone 13 Pro Max (kanan) dan iPhone 13 Pro Mini (kiri) yang dijual pelanggan di Ipoh baru-baru ini.

IPOH – Menjadi trend baharu apabila ada dalam kalangan mereka yang berbelanja sakan semasa membuat persiapan raya kini mula menjual telefon pintar jenama iPhone walaupun baru memasuki minggu kedua Syawal di­sebabkan kehabisan wang.

Disebabkan itu mereka yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang segera sementara menunggu gaji termasuk menjual telefon bimbit berjenama yang sebelumnya menjadi lambang status.

Percaya atau tidak, ada pemilik iPhone 13 Pro Max 512GB rela menjual telefon bimbit tersebut pada harga RM4,000 kerana ter­desak memerlukan wang segera.

Mengakui perkara itu, seorang juruteknik di sebuah kilang bernama Zainal, 26, berkata, dia terpaksa menjual iPhone yang baharu dibeli bulan lalu bagi menampung perbelanjaan harian.

Katanya, ia kerana wang gaji bulan lalu telah habis dibelanjakan membuat persiapan raya termasuk membeli pakaian buat ahli keluarga kerana dua tahun tidak pulang beraya di kampung.

Dia berhabis kira-kira RM4,000 membuat persiapan raya selain berbelanja besar semasa bulan puasa lalu.

Kerana salah membuat kira-kira, beberapa komitmen seperti ansuran kenderaan, pinjaman pendidikan dan langganan siaran televisyen berbayar tertunggak.

“Saya beli iPhone 13 Pro Max 512GB itu bulan lalu pada harga RM6,699 hasil wang bonus dan simpanan bagi menggantikan ­iPhone versi terdahulu.

“Oleh kerana kusut memikirkan pasal hutang saya rela menjual telefon berkenaan selain tidak mahu meminjam daripada kawan-kawan atau ahli keluarga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
iPhone 13 Pro Max yang merupakan telefon pintar premium sememangnya menjadi kegilaan penggemarnya dan mempunyai nilai pasaran yang baik walaupun sebagai telefon terpakai.

Tindakan serupa turut dilakukan pekerja syarikat penghantaran dikenali Azli, 25, apabila terpaksa menjual iPhone 13 256GB berharga RM3,899 yang dibeli pada Disember lalu.

Katanya, dia ditawarkan harga RM2,000 untuk menjual telefon berkenaan di sebuah premis te­lefon terpakai di bandar ini.

“Memang sayang nak dilepaskan tetapi sebab kesempitan duit selepas seronok beraya maka saya fikir elok jual, lagipun saya ada telefon kedua. Telefon ini pun hanya digunakan buat bermain permainan dalam talian.

“Walaupun rugi tapi apa nak buat. Ini sajalah cara terbaik. Takkan saya nak pinjam pada ah long pula,” ujarnya.

Bagi pereka grafik, Zainuddin, 30, dia juga menjual iPhone 13 256GB kepada seorang kenalan walaupun tidak sampai dua ­minggu menggunakannya.

“Telefon itu dibeli menggunakan sebahagian wang penge­luaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini.

“Saya jual telefon itu RM3,000 pada kawan dan dia pula gembira dan tak kisah jadi pemilik iPhone second hand,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI