fbpx

Gerun apa jumpa Vietnam – Syahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAHIR (kanan) menggesa rakan-rakan sepasukan agar berjuang sepenuh hati menjelang aksi menentang Vietnam pada separuh akhir Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Viet Tri, Phu Tho malam ini.

HANOI – Jika memikirkan soal rekod pertemuan pada separuh akhir Sukan SEA, ia tidak begitu memihak kepada Malaysia apabila tewas 3-4 dan 1-2 masing-masing pada temasya sukan dwitahunan edisi 2003 di Hanoi dan edisi 2005 di Manila.

Begitupun, Malaysia pernah mengecewakan skuad muda Naga Emas itu di pentas final 1-0 pada edisi 2009 di Laos.

Namun, kejayaan lalu sebenarnya tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana setiap pasukan dibarisi pemain berbeza setiap kali Sukan SEA dan hanya rekod lalu serta kenangan manis buat pasukan yang berjaya.

Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi separuh akhir bola sepak Sukan SEA Viet­nam 2021 di Stadium Viet Tri, Phu Tho malam ini, status juara bertahan yang dimiliki Vietnam langsung tidak memberi kege­runan kepada barisan pemain skuad bawah 23 (B-23) negara.

Malah, skuad negara di bawah kendalian Brad Maloney itu dilihat mampu mengejutkan tuan rumah, Vietnam di hadapan penyokong mereka sendiri jika segala taktikal dan persembahan terbaik para pemain mampu dijelmakan.

Maloney mengakui Vietnam memiliki banyak kelebihan berbanding pasukannya termasuk dibarisi ramai pemain yang berkualiti.

“Vietnam adalah pasukan yang sangat bagus dan pilihan untuk menjadi juara. Mereka ramai pemain berkualiti dan kami harus berwaspada dengan 11 pemain mereka di atas padang, bukan sahaja dua atau tiga pemain,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Sementara itu, pemain tengah negara, Syahir Bashah menyeru rakan-rakan sepasukan untuk membuktikan sesuatu dan tidak perlu takut berdepan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu meskipun ramai beranggapan mereka sukar mengatasi lawan berkenaan.

“Untuk perlawanan menentang Vietnam, bagi saya tiada apa-apa masalah, saya yakin pa­sukan boleh buat. Jumpa mana-mana pasukan pun perlawanan tetap akan sama, kena menang untuk jadi juara.

“Berdepan Vietnam pun satu peluang untuk kita kerana jumpa tuan rumah. Bermain di depan ramai penyokong pun kita sudah terbiasa, jadi apa perlu dilakukan adalah buat terbaik dan cuba kalahkan mereka dengan apa cara sekalipun demi negara,” ujarnya.

Atas kertas, kelebihan jelas milik Vietnam dengan skuad kendalian Park Hang Seo itu akan mendapat bantuan moral daripada daripada ribuan penyokong tuan rumah memenuhi stadium, selain menjadi pilihan utama untuk meraih emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI