fbpx
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) bersama Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja (dua dari kiri) pada pertemuan di Washington baru-baru ini.

Cisco, kerajaan pacu agenda pendigitalan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Peneraju global dalam teknologi internet, Cisco menandatangani rangka kerja usaha sama dengan Kerajaan Malaysia di Washington baru-baru ini bagi memajukan agenda pendigitalan negara.

Kerjasama tersebut antara lain menetapkan asas bagi program Country Digital Acceleration (CDA) Cisco di negara ini.

Ia juga sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang bertujuan untuk memupuk keterangkuman sosial serta daya tahan ekonomi melalui transformasi digital.

Program tersebut memberi tumpuan kepada empat teras utama termasuk transformasi digital dalam sektor awam serta transformasi digital dalam industri dengan memfokuskan transformasi dan inovasi dalam sektor tenaga serta uti­liti.

Ia juga memberi tumpuan terhadap transformasi digital dalam perniagaan kecil dan sederhana serta transformasi digital dalam sektor pembekal perkhidmatan, dengan tumpuan pada inovasi 5G.

Naib Presiden Kanan dan Pegawai Inovasi Global Cisco, Guy Diedrich berkata, melalui CDA, syarikat meletakkan Cisco dan rakan kongsi dalam kedudukan unik sebagai jambatan antara aspirasi digital negara dan manfaat digital masa depan.

“Model ini berdasarkan tahap kepercayaan tinggi dan penglibatan khusus me­rentasi ekosistem rakan kongsi dalam sektor awam dan swasta.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan pemimpin komuniti untuk menangani cabaran utama masyarakat bagi memanfaatkan pelaburan bersama yang strategik dan inovasi secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ketika ini, Cisco sedang be­kerjasama dengan kerajaan pusat, negeri dan tempatan di 44 buah negara dengan lebih 1,200 projek yang masih aktif atau te­lah siap di seluruh dunia.

Usaha tersebut adalah untuk mempercepatkan agenda pendigitalan negara terlibat dengan membangunkan bersama penyelesaian termaju dan menyampaikan perkhidmatan bermanfaat kepada rakyat negara tersebut dengan lebih berkesan.

Program CDA Cisco telah membantu mewujudkan pekerjaan baharu, menggalakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dan membantu memupuk ekosistem inovasi. -KOSMO! ONLINE

POPULAR