fbpx

Kontraktor kemuka dokumen palsu didenda RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Arman (depan, kiri), Suhaimi Mohd. (tengah), Shafizawati Shafiee (belakang, kiri) diiringi pegawai SPRM di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Seorang kontraktor didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi memenangi tender pembersihan bernilai puluhan ribu ringgit sebulan daripada sebuah syarikat swasta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Suhaimi Mohd., 47, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Selain Suhaimi, dua lagi kontraktor iaitu Arman Yani Anuar, 51, dan Shafizawati Shafiee, 48, didenda RM45,000 setiap seorang sebaik mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan sama.

Suhaimi dalam pertuduhan pertama didakwa menggunakan penyata akaun Maybank Islamic palsu milik syarikat Bumi Emas Prestige Sdn. Bhd. bagi bulan Oktober hingga Disember 2019 sebagai dokumen tulen.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengemukakan penyata akaun Affin Bank Berhad palsu milik syarikat Cahaya Ventures Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 sebagai dokumen tulen.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman, Environment Idaman Kedah dan Perlis di sini pada 19 Januari 2019.

Hakim menetapkan denda sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi Suhaimi.

Sementara itu bagi tertuduh kedua dan ketiga, mereka dijatuhkan hukuman sebanyak RM45,000 setiap seorang selepas masing-masing berdepan dengan satu pertuduhan.

Hakim turut memerintahkan kesemua mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan dihadapi, namun ketiga-tiga mereka membayar denda dikenakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received