fbpx

Dugaan Ramadan, isteri diserang angin ahmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Razak mengusap kepala Normala yang terlantar akibat penyakit angin ahmar sambil diperhatikan Presiden Perkasih N9, Norfadilah Mansor (kanan) di rumah sewanya di Taman Gadong Jaya, Seremban.

SEREMBAN – Sambutan Aidilfitri seorang warga emas pada tahun ini suram selepas isteri disayanginya terlantar sejak Ramadan lalu akibat penyakit angin ahmar.

Abdul Razak Salleh, 73, berkata, isterinya, Normala Abdul Rahman, 50, terlantar selepas menjalani pembedahan di kepala pada April lalu yang menyebabkan seluruh anggota badannya lumpuh.

“Saya berharap ada keajaiban untuk isteri kembali sembuh dalam masa terdekat seterusnya menikmati usia tua bersama.

“Setiap hari saya berdoa dan berbisik di telinganya meminta­nya supaya kuat melawan pe­nyakit agar kami dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Gadong Jaya di sini baru-baru ini.

Cerita Abdul Razak, kea­daan tangan kanannya yang tidak sekuat dahulu akibat diserang angin ahmar tiga bulan lalu menyebabkan dia agak sukar me­nguruskan Normala seorang diri.

“Saya tidak mampu menguruskan isteri seorang diri tambahan pula kami tidak mempunyai anak. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila ada rakan yang sanggup membantu menguruskannya sejak dia keluar dari hospital.

“Isteri pula ketika ini hanya bergantung kepada susu khas selain perlu dipakaikan lampin pakai buang,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Abdul Razak memberitahu, dia pernah menangis kerana buntu memikirkan tiada wang simpanan untuk membayar bil perubatan iste­rinya berjumlah RM338.

“Sedih sangat tidak tahu nak minta bantuan siapa, rasa dunia ini sudah tidak bermakna mujurlah ada seorang hamba Allah melihat keadaan saya di hospital dan menawarkan bantuan untuk menjelaskan bil perubatan itu,” luahnya.

Jelas Abdul Razak, ketika ini perbelanjaan termasuk susu khas isteri menggunakan sepenuh­nya wang pencennya berjumlah RM350 dan isterinya turut me­nerima elaun daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM500 sebulan.

“Duit itu hanya cukup-cukup memandangkan saya juga perlu membayar sewa rumah seba­nyak RM400 sebulan.

“Lampin pakai buang hasil sumbangan Perkeso dan saya baharu sahaja membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Negeri Sembilan,” katanya yang menyewa di Taman Gadong Jaya di sini lebih 10 tahun lalu.

Nasib Abdul Razak dan isteri yang juga bekas pekerja hotel turut mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Ne­geri Sembilan (Perkasih N9) yang melakukan gotong-royong membersihkan kediaman mereka dan me­nyumbangkan katil boleh laras.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7014673089 (Normala Abdul Rahman) atau hubungi 013-249 3528 (Abdul Razak).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI