fbpx
KESTABILAN kewangan dan sifat penyayang lelaki-lelaki bujang popular seperti Hael Husaini, Sufian Suhaimi dan terbaharu, Iqbal Zulkefli mungkin antara faktor paling utama mendorong mereka nekad memikul tanggungjawab besar mengambil anak angkat, sekali gus bergelar bapa ‘segera’ tanpa seorang isteri.

Si bujang jadi bapa ‘ekspres’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN berniat menidakkan rezeki segelintir artis ‘menimang’ cahaya mata, hatta berstatus bujang atau belum berkahwin, namun tiba-tiba sudah bergelar bapa ‘ekspres’.

Terbaharu, usahawan yang kini terjerumus dalam dunia nyanyian dan lakonan, Iqbal Zulkefli atau nama sebenarnya, Ahmad Iqbal Zulkefli pula mengambil seorang anak lelaki diberi nama Ahmad Ziyad.

Ternyata, rezekinya untuk bergelar suami belum tercapai, namun rezeki menjadi seorang bapa pula dipercepatkan.

Mulut tempayan boleh tutup, mulut manusia tidak boleh kawal. Selepas membuat pendedahan tentang perkara tersebut, berduyun-duyunlah ucapan tahniah daripada netizen. Tetapi pada masa sama, ada yang juga musykil bagaimana seorang lelaki bujang di Malaysia begitu mudah diberi kebebasan mengambil anak angkat.

SUFIAN Suhaimi mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Faeq Razeeq pada 2019.

Adakah dengan hanya memiliki status ekonomi yang kukuh sudah memadai dan perihal ilmu keibubapaan tidak menjadi syarat atau prioriti utama? Tepuk dada, tanyalah selera.

Kata Iqbal, 28, bukan mudah menjadi seorang bapa tanpa wanita berstatus isteri di sisi. Menurut pelantun lagu Hujan itu, dia sedang sedaya upaya melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kepada Ahmad Ziyad.

Pemerhatian

“Kini menjadi pemerhatian oleh banyak pihak. Apa pun, saya terus rujuk meminta nasihat dari pihak yang lebih arif.

“Baru saya tahu tidak senang menjadi seorang ayah. Dua jam sekali, Ziyad akan menangis terjaga untuk minum susu. Selepas habis menyusu terus tukar lampin. Paling mencabar ketika mandikan bayi yang baru lahir.

“Saya bersyukur Ziyad langsung tiada ragam dan selalu senyum. Nanti besar jangan baling duit macam ayah,” kata pengasas jenama produk kecantikan, IBA Revolution Sdn. Bhd. itu.

Kendatipun ramai yang mengucapkan perkataan yang baik-baik buat Iqbal, ada juga yang mengingatkannya secara sarkastik agar kebajikan anak angkat tidak diperkotak-katik biarpun nanti sudah berumah tangga dan memiliki zuriat sendiri kelak.

Jangan beza-bezakan

“Pesanan saya satu sahaja. Kalau dah kahwin dan dapat zuriat sendiri nanti, jangan sisihkan anak angkat ini. Kemudian, jangan beza-bezakan.

“Suatu hari nanti, Iqbal akan berkahwin dan ada zuriat atas darah daging sendiri. Besar harapan Iqbal tak abaikan Ziyad pada waktu itu.

“Ini amanah Allah. Layanlah sama rata dan sayangilah seperti anak-anak yang lain,” demikian antara peringatan dan pesanan yang ditinggalkan netizen dalam ruangan komen.

Sehingga artikel ini ditulis, Iqbal masih belum berkongsi bagaimana proses pengambilan anak angkatnya dilakukan. Barangkali, ramai lelaki bujang di luar sana yang ‘mampu’ dan bukan berstatus orang popular sudah terfikir untuk mengikuti jejak langkah figura berkenaan.

HAFIZ HAMIDUN bersama anak angkatnya, Hamde Hafiz, 2, yang dibela sejak berusia satu bulan.

Sebelum ini pun, penyanyi dan komposer hebat, Hael Husaini telah mengambil tiga orang anak angkat iaitu seorang perempuan dan dua kembar lelaki. Hebat.

Keterbukaan si bujang memiliki anak angkat juga terpamer dalam kehidupan komposer dan penyanyi nasyid popular, Hafiz Hamidun serta Sufian Suhaimi yang sebelum ini masing-masing mempunyai seorang anak angkat.

Jika si bujang mudah membuat keputusan soal anak angkat, pasangan selebriti, Mizz Nina dan Noh Salleh bagaimanapun mengambil masa 11 tahun sebelum membulatkan hasrat untuk mengambil anak angkat sendiri.

Bahagialah anak syurga yang dibesarkan dengan kasih sayang lengkap pendamping bernama ibu dan ayah. Begitu jugalah hendaknya bagi yang secara fizikalnya hanya bertemu kasih satu pihak.

POPULAR