fbpx

That That, apa senjata rahsia Psy?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PSY

SEPULUH tahun lalu, penghibur serba boleh Psy meluncurkan hit Gangnam Style, sebuah lagu satira sensasi yang menerima pencapaian terbesar dalam industri muzik K-pop.

Lagu yang dilancarkan pada 21 Disember 2012 mencatat jumlah tontonan sebanyak satu bilion (kini 4.4 bilion) dalam YouTube, menjadikan karya tersebut sebagai video lagu pertama yang meraih catatan sebanyak itu dalam laman tersebut.

Tambah membanggakan, Gangnam Style menjadikan Psy penyanyi Korea Selatan pertama yang berjaya menerobos ruang carta popular, Billboard Hot 100 di tangga kedua.

Kini, legenda pop itu mengulang kejayaan sama apabila lagu baharunya, That That menempa perhatian dan rekod luar biasa sejak dilancarkan 29 April lalu.

Lebih mengujakan peminat terutama bagi penggemar BTS apabila Psy menggunakan ‘senjata rahsia’ dengan ‘mengheret’ masuk penyanyi dari kumpulan popular itu, Suga dalam kolaborasi unik berkenaan.

AKUI Psy, YouTube menjadi senjata terbesar buat artis masa kini untuk memastikan karya-karya mereka berjaya ‘dijual’ kepada peminat.

Memetik laporan Mashable SE Asia, Psy dalam satu temu bual baru-baru ini mengakui, ketika Gangnam Style ‘mendunia’, dirinya berasa sangat penat dan beranggapan kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang ‘sihat’.

“Ada sesetengah orang fikir nama saya Gangnam Style. Orang luar akan tegur saya dan cakap ‘hai Gangnam Style’. Waktu itu saya fikir, Gangnam Style pecah rekod hanya kerana itu adalah lagu.

“Mereka yang popular di Amerika Syarikat seperti BTS dan Blackpink jauh berbeza dengan saya. Kejayaan diraih mereka berterusan dan saya anggap apa yang digapai kedua-dua kumpulan itu seperti melengkapkan impian ‘tak tertunai’ saya,” luahnya.

MENERUSI album baharunya, Psy menjalin kerjasama dengan tujuh orang pemuzik, termasuklah beberapa penyanyi terkenal seperti Jessi untuk lagu GANJI dan Now bersama Hwasa.

Album penuh

Kembalinya pemilik nama penuh Park Jae-sang dengan material terbaharu bukan sekadar mempertaruhkan satu atau beberapa buah lagu, sebaliknya menghadiahkan sebuah album penuh kepada peminat.

Berjudul Psy 9th, selain That That album berkenaan memuatkan deretan lagu lain seperti 9INTRO (ninetro), Celeb, It’s Touching, It’s A Deep Night, GANJI, Happier, My Monday dan Everyday.

Ketika ditebak tentang keputusannya muncul dengan album penuh berbanding dengan trend kebanyakan artis yang memilih mengeluarkan single digital mahupun album mini, Psy ada alasan tersendiri.

“Saya sekarang lahirkan artis idola tetapi dalam era mereka, cakera padat (CD) menjadi item terbaik buat mereka. Tetapi kita tidaklah mendengarnya dengan kerap pun.

“Rumah saya pun tak ada pemain CD. Kereta saya pun tak ada pemainnya dan kedai menjual CD pun dah tak banyak.

“Saya berpendapat, meluncurkan album dalam era digital agak merugikan.

“Kecuali untuk beberapa judul lagu yang dapat perhatian, potongannya menjadi single digital mampu menarik perhatian pendengar.

“Saya buat album ini kerana fikir nanti akan ada orang yang akan menyambung tindakan sebegini,” katanya.

SUGA mengakui tidak menyangka kolaborasi yang terhasil antara Psy akan ‘mengheretnya’ turut menari dalam video muzik lagu That That.

Gugup

Menjadi seorang anggota kumpulan K-pop paling berpengaruh di dunia ketika ini iaitu BTS tetap tidak mampu menepis rasa gugup Suga saat pertama kali diberi kepercayaan menerbitkan lagu baharu Psy.

Hal ini kerana ujar Suga atau nama sebenarnya Min Yoon-gi, Psy merupakan senior dalam industri dan mereka memiliki perbezaan umur yang jauh ketara.

“Dia merupakan orang yang sangat dihormati dalam bisnes dunia hiburan. Tentu saja saya sedikit gugup,” luahnya.

Mendengar jawapan diberikan Suga, Psy, 44, segera menjelaskan, dia tidak ingin menjadi orang yang sukar didekati apatah lagi ketika bertemu dengan artis yang jauh lebih muda daripadanya.

Di sebalik hierarki junior-senior antara mereka, Psy meletakkan elemen persahabatan dengan menganggap Suga sebagai seorang rakan.

Atas pendirian tersebut dia terlupa tentang soal jurang perbezaan usia.

“Memang benar, terasa seperti bekerja dengan teman sewaktu masa kecil sehingga membuatkan proses pembikinan lagu ini sangat menyenangkan.

“Kami menjadi sahabat,” jelas Suga.

MASIH mengekalkan imej fesyen dan tarian pelik, Psy tidak pernah peduli dengan tanggapan orang. Penyanyi itu sebaliknya bersyukur kerana masih diterima peminat, terutama dalam kalangan orang muda.

Jejaka berwajah tampan itu juga mengakui tidak pernah membayangkan akan berpeluang berduet dengan Psy sehingga ke tahap ini.

Sejak dilancarkan 29 April lalu, lagu That That meraih perhatian luar biasa global. Dalam hanya tempoh seminggu, video muzik rasminya berjaya mencatat jumlah tontonan 100 juta kali dalam YouTube.

Menjadi lagu K-pop paling laju mencatat jumlah tersebut bagi tahun ini, That That yang diproduksi serta mendapat sentuhan Suga untuk bahagian lirik, susunan muzik dan komposer juga berjaya menempatkan kedudukan dalam carta Billboard.

Rekod tersebut dicatat pada 9 Mei lalu dengan menyaksikan That That menghuni carta nombor dua dalam Billboard Hot 100, selain turut tersenarai dalam Billboard Global Excluding United States (tangga kedua) dan Billboard Global 200 (tangga kelima).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI